HomeHiburanPelakon 'Modern Family', Sarah Hyland langsungkan perkahwinan di California

Pelakon ‘Modern Family’, Sarah Hyland langsungkan perkahwinan di California

Oleh: SITI NS

Sarah Hyland mengikat tali perkahwinan dengan pasangannya, Wells Adams, pada hujung minggu lepas. Perkahwinan ini sepatutnya dilangsungkan pada tahun 2020 tetapi malangnya terpaksa ditunda gara-gara pandemik COVID-19.

Pelakon berusia 31 tahun yang memainkan watak sebagai Haley Dunphy dalam siri terkenal ‘Modern Family’ itu diapit oleh kesemua ahli pelakon drama bersiri tersebut termasuk Sofia Vergara, Jesse Tyler Ferguson, Ariel Winter dan Nolan Gould.

Drama bersiri ‘Modern Family’ mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sehingga ke hari ini walaupun siri tersebut telah tamat pada tahun 2020. Selain diminati ramai, ia juga berjaya memenangi 22 anugerah Emmy sepanjang siarannya.

Menurut E! News, pasangan itu berkahwin dalam satu majlis luar di Sunstone Winery berdekatan Santa Barbara, California.

Pelakon-pelakon dalam siri kegilaan ramai itu dapat bertemu kembali semasa perkahwinan Hyland berlangsung dan mereka tidak melepaskan peluang memuat naik momen-momen mereka bersama di media sosial masing-masing.

Hyland dan Adams mula berkenalan pada 2017 selepas bertemu di media sosial dan bintang ‘Bachelor in Paradise’ itu melamar Hyland pada Julai 2019 semasa percutian romantis mereka di pesisir pantai.

Semoga pasangan ini terus bahagia membina kehidupan bersama.

Author

Pilihan Editor