HomeSukanQobin serah imbuhan hargai atlet Alumni UiTM

Qobin serah imbuhan hargai atlet Alumni UiTM

SHAH ALAM: Hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang jua.

Alumni Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UITM, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih dikenali sebagai Qobin telah menyerahkan RM5,000 sebagai imbuhan kepada pemenang Pingat Emas Acara Angkat Berat Sukan Komanwel Birmingham, Aniq Kasdan dan Pingat Perak acara Lawn Bowls Nurul Ain Nabilah.

Kedua-dua atlet negara ini merupakan mahasiswa Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Qobin berkata, sebagai alumni FSR UiTM, beliau berasa bangga dan berbesar hati di atas kejayaan dua pelajar FSR ini.

“Jadi dengan rezeki yang ada, saya terpanggil untuk menyumbangkan imbuhan kewangan (RM3,000 untuk Aniq) dan (RM2,000 untuk Nurul Ain) bagi menyuntik semangat mereka untuk terus belajar dan pada masa yang sama kekal fokus dalam latihan agar mereka dapat mencapai kejayaan yang lebih gemilang di sukan Olimpik dan lainnya nanti.

Majlis ini dihadiri oleh tetamu istimewa Prof. Emeritus Tan Sri Ibrahim Abu Shah, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM dan juga mentor kepada Qobin sewaktu beliau bergelar mahasiswa.

Ibrahim merupakan Naib Canselor pada 2004 yang menjadi tunjang utama kejayaan Qobin menakluk Gunung Everest pada tahun 2004 bersama Ahmad Reduan Rozali.

Tambah Qobin, sebagai atlit sukan rekreasi dan ahli perniagaan, selagi mampu beliau akan membantu atlet sukan yang berpotensi untuk membawa nama Malaysia dan memperoleh pingat.

“Saya akan turun padang memberikan sokongan dan semangat buat mereka.

“Saya harap agar lebih ramai individu dan tokoh korporat lainnya termasuklah alumni UITM yang berjaya, dapat mendokong atlit sukan UITM yang mewakili Malaysia di persada antarabangsa”‘ ujar beliau.

Qobin merupakan mahasiswa Malaysia pertama bersama Ahmad Reduan yang sampai ke puncak Everest pada tahun 2004 selain meneruskan kejayaan berbasikal dan bermotosikal merentasi 22 negara serta menjadi Penjelajah Grand Slam (Last Degree) pertama Malaysia iaitu menamatkan pendakian di tujuh puncak tertinggi di tujuh benua antara 2010-2014 dan berski (last degree) dari titik 89 ke titik 90 darjah di Kutub Utara dan Kutub Selatan pada 2017 -2018.

Beliau juga berjaya membawa tujuh pendaki termasuk lima anak FELDA ke puncak Everest pada 2013, berjaya menghantar tujuh perenang ke Selat Inggeris (2012) di mana seorang berjaya berenang solo dan enam yang lainnya berganti-ganti, berjaya membawa lapan penjelajah merentasi pulau Greenland (pulau terbesar di dunia) sejauh 580km dan beberapa kejayaan lain di dalam dan luar negara.

Author

Pilihan Editor