HomeHiburanTerima kasih Nabila panggil orang tentang kemungkaran tidak matang - PU Syed

Terima kasih Nabila panggil orang tentang kemungkaran tidak matang – PU Syed

Oleh: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Seorang pendakwah iaitu Pencetus Ummah (PU) Syed Mohd Bakri Syed Ishak membidaskan pendapat pelakon Nabila Huda berhubung cadangan protes penganjuran konsert penyanyi antarabangsa di negara ini sebagai langkah tidak matang.

Syed menegaskan, kematangan seseorang itu sebenarnya terletak kepada kefahaman mereka terhadap perintah dan larangan Allah SWT.

Jelasnya, tentangan yang dibuat bukan bererti tidak matang tetapi kematangan seseorang itu apabila mampu menilai sesuatu perkara sama ada baik atau pun sebaliknya.

“Saya tetap dengan pendirian menentang kemungkaran yang berlaku dalam negara kita, Malaysia. Kita tidak mahu menjadi punca kemaksiatan kepada Allah SWT.

“Bukan bermakna tentangan ini kita tidak matang tetapi kita matang dalam menilai sesuatu itu baik atau buruk,” jelasnya menerusi sebuah video yang dikongsi di Instagram.

Dalam pada itu, Syed menjelaskan hidup seseorang manusia bukan lakonan tetapi adalah suatu ketetapan daripada Allah dan ada perintah dan larangan-Nya yang perlu dilaksanakan dan ditinggalkan.

“Puan Nabila mungkin terlebih matang bila mana tuntutan Allah untuk menutup aurat masih lagi gagal dilaksanakan kecuali dalam lakonan semata-mata.

“Hidup kita bukan lakonan, hidup kita adalah suatu ketetapan daripada Allah dan ada perintah-Nya yang perlu kita laksanakan. Ada larangannya yang perlu kita tinggalkan,” katanya.

Syed turut mengucapkan terima kasih kepada Nabila kerana memanggil orang yang menentang kemungkaran sebagai tidak matang.

Pendakwah itu turut meminta Nabila bermuhasabah diri dan jangan meludah ke langit kerana bimbang terkena ke muka sendiri.

“Maka muhasabah diri Puan Nabila. Jangan meludah ke langit, takut mercik ke muka sendiri,” katanya.

Terdahulu, Syed menyatakan bantahan terhadap penganjuran konsert kumpulan Kpop Blackpink yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 4 Mac tahun hadapan.

Syed turut merancang untuk mengadakan himpunan bantahan sekiranya konsert tersebut masih diteruskan.

Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) Ahmad Fadhil Shaari turut membangkitkan isu sama dan menegaskan pihaknya tidak teragak-agak untuk menggerakkan bantahan sama jika tuntutan itu tidak diendah.

Nabila sebelum ini menerusi Twitter miliknya meluahkan pendapat bahawa masih ada perkara lebih penting boleh diberi perhatian berbanding penganjuran konsert artis antarabangsa di negara ini.

Author

Pilihan Editor