HomeHiburanAbang Long Fadil 3 kutip RM18 juta

Abang Long Fadil 3 kutip RM18 juta

Oleh: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Filem bergenre komedi aksi, Abang Long Fadil 3 arahan Syafiq Yusof berjaya mengutip RM18 juta dalam tempoh 11 hari tayangan di pawagam.

Filem terbitan Skop Productions dan Astro Shaw itu menampilkan pelawak popular, Zizan Razak dan Johan Raja Lawak sebagai teraju utama.

Abang Long Fadil 3 berkisar gelagat Fadil lakonan Zizan Razak sebagai ejen perisik Perkhidmatan Rahsia Negara (NSS) yang cuba menjatuhkan konspirasi jahat Chow Han (Johan).

Dalam misinya itu, Fadil diburu King Cobra (Datuk AC Mizal) atas dendam kesumat.

Filem hasil idea asal Syafiq Yusof itu berjaya meraih kutipan RM3 juta pada hari pertama tayangan di 159 pawagam di Malaysia, Brunei dan Singapura.

Terdahulu, sekuel kedua francais ini mencatat sejarah sebagai filem tempatan pertama meraih kutipan pecah panggung lebih RM18 juta ketika ditayangkan pada 2017.

Menerusi tiga sekuel Abang Long Fadil, penonton dapat melihat transisi tema berbeza iaitu daripada dunia gengster, mafia dan perisikan.

Penggambaran Abang Long Fadil 3 dijalankan 2019 mengambil masa 77 hari di sekitar Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Klang.

Selain Zizan dan Johan, filem Abang Long Fadil 3 turut menampilkan Maya Karin, Elizabeth Tan, Shuib Sepahtu dan Ozlyn Wati.

Turut beraksi dalam filem menelan belanja RM6 juta itu termasuklah Tania Hudson, Joey Daud, Jay Iswazir, Daniella Sha, Khir Rahman, Hairul Azreen dan Siraj Alsagoff.

Author

Pilihan Editor