HomeHiburanAIM23: Hadiah RM320,000 buat empat pemenang utama

AIM23: Hadiah RM320,000 buat empat pemenang utama

Oleh: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Anugerah Industri Muzik Ke-23 (AIM23) tahun ini buat pertama kali memberi hadiah Dana Kandungan Digital atau DKD Industri Muzik berjumlah RM320,000 kepada empat pemenang utama sebagai satu bentuk galakan dan insentif kepada penggiat industri muzik.

Empat kategori terbabit adalah Artis Baru Terbaik dan Lagu Terbaik yang masing-masing akan menerima RM50,000, manakala Video Muzik Terbaik pula bakal meraih RM20,000 dan RM200,000 pula menanti pemenang Album Terbaik.

Hadiah DKD disalurkan kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dalam membantu dan menggalakkan pengamal industri kreatif untuk menghasilkan, memasarkan dan mengedar kandungan kreatif yang tinggi nilainya di pasaran tempatan serta antarabangsa.

Pemberian dana berkenaan juga membuktikan kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam memupuk pertumbuhan industri kreatif, termasuk industri muzik yang berpotensi besar sebagai antara tonggak utama pertumbuhan ekonomi dalam ekonomi digital baharu.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Jawatankuasa Penganjur AIM 23, Rosmin Hashim berkata, RIM amat menghargai dan berterima kasih atas sokongan yang diberikan kerajaan kepada penggiat industri muzik tempatan.

“Selaras matlamat AIM untuk meningkatkan kualiti kandungan kreatif, inisiatif melalui DKD kepada empat pemenang kategori utama AIM ini akan menjadi pemangkin kepada penggiat industri muzik untuk menghasilkan karya kandungan kreatif berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Rosmin menambah, DKD yang diperuntukkan kepada pemenang kategori Artis Baharu Terbaik boleh digunakan untuk menghasilkan single yang lebih berkualiti, sekali gus meningkatkan pembangunan kerjaya artis tersebut.

Manakala, untuk Lagu Terbaik pula membolehkan penerima menghasilkan single dan video muzik baharu dengan kualiti pengeluaran lebih tinggi.

“Pemberian DKD kepada pemenang kategori Video Muzik Terbaik dan Album Terbaik pula menggalakkan penghasilan lebih banyak album berkualiti tinggi dan berpotensi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“DKD ini akan diberikan melalui syarikat rakaman kepada pemenang agar pelaburan tersebut mencapai impak maksima dan produktif serta melibatkan pelbagai rantaian peluang pekerjaan dalam ekosistem industri muzik tempatan,” katanya.

AIM23 bakal malam ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria pukul 9 malam.

Author

Pilihan Editor