HomeNiagaUsahawanANGKASA cadang rumah kebajikan, anak yatim tubuh koperasi

ANGKASA cadang rumah kebajikan, anak yatim tubuh koperasi

PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) mencadangkan rumah kebajikan dan anak yatim agar menubuhkan koperasi bagi menyuburkan pendapatan penghuninya.

Presiden ANGKASA, Datuk Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, dengan adanya koperasi, penganjur dan ibu tunggal masing-masing boleh ada pemilikan yang membolehkan mereka memulakan perniagaan dan tidak mengharapkan sumbangan semata-mata.

“Penganjur boleh daftar di Suruhanjaya Koperasi Malaysia dahulu sebelum berada di bawah ANGKASA.

“Ketika ini rumah kebajikan dan anak yatim hanya bergantung kepada sumbangan sahaja dan ia risiko tinggi.

“Tetapi jika ada koperasi boleh bersama meningkatkan ekonomi diri atau ekonomi sosial iaitu cari duit dahulu dan pulangkan kepada masyarakat.

“Lebih banyak koperasi dapat selesaikan masalah kewangan ahli seperti aspek perubatan dan pendidikan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyampaikan 306 helai pakaian sekolah dan RM500 nilai barang asas sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh Coopcare ANGKASA kepada Persatuan Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim dan Ibu Tunggal Hajah Kamariah di Taman Medan di sini.

Sumbangan pakaian sekolah dan barang keperluan harian itu disampaikan menerusi Projek Barang Asas 100 (BA100).

Rumah kebajikan berkenaan menempatkan 40 penghuni dan memiliki konsep menarik kerana hanya menyediakan servis percuma penjagaan dan pengurusan anak sementara ibu atau penjaga keluar kerja.

“Rumah ini ada tuisyen, solat berjemaah, mengaji, berehat, beriadah, sediakan makanan bersama dan lain-lain sementara ibu atau penjaga keluar mencari nafkah.

“Contohnya ibu kembali pada waktu malam baharulah anak dibenarkan pulang ke rumah mereka.

“Dengan konsep ini ibu atau penjaga boleh fokus usaha cari nafkah dan sementara itu anak mereka selamat bawah jagaan rumah berkenaan,” katanya.

Author

Pilihan Editor