KOTA KINABALU: Stigma politeknik adalah pilihan pelajar ketinggalan pelajaran kini terhakis, apabila institusi pendidikan itu berjaya menghasilkan ramai lulusan berkualiti yang memenuhi pasaran pekerjaan semasa.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata ini juga dapat dilihat apabila ramai lulusan institusi itu telah berjaya dalam bidang yang diceburi, hasil acuan sistem pendidikan politeknik.
“Rakan industri (politeknik) juga sangat penting dalam menghasilkan lulusan TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) yang berkemahiran tinggi.
“Ini kerana perkongsian kepakaran dalam pelbagai usaha sama dengan rakan industri dapat membantu pelajar TVET mencapai tahap kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani Sijil Jalinan Kolaborasi (CoC) Politeknik Kota Kinabalu (PKK) bersama sembilan syarikat dari pelbagai sektor bagi berkongsi kepakaran serta melaksanakan pelbagai usaha sama.
Syarikat berkenaan adalah Ria Academy & Consultancy Sdn Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Majlis Ugama Islam Sabah, Boustead Dcns Naval Corporation Sdn Bhd, KKIP Areaspace Trainning Centre, Koperasi Wawasan Rakyat Sabah Bhd, Amc College, KKIP Sdn Bhd dan Kebabangan Petroleum Operating Company Sdn Bhd.
Turut hadir Pengarah Bahagian Kompetensi dan Peningkatan Kerjaya Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Zainab Othman dan Pengarah PKK Dullah Muluk.
Ahmad Masrizal berkata kolaborasi seperti itu dapat merapatkan jurang kualiti graduan dengan keperluan industri, membantu negara mengurangkan kebergantungan pada tenaga kerja asing serta menjadikan TVET sebagai pilihan utama pelajar.
Katanya, kerjasama dengan pemain industri menerusi tenaga pakar dapat membimbing pelajar untuk meningkatkan kemahiran sejajar dengan perkembangan teknologi.
“Saya berharap lebih banyak pemain industri membuka peluang untuk jalinan kolaborasi strategik dijalankan, terutamanya rakan industri bidang TVET.
“Pensyarah juga diharap dapat mengambil peluang sebanyak yang mungkin melalui kolaborasi yang dijalinkan agar prestasi yang disampaikan kepada pelajar berada setara dengan keperluan semasa,” tambahnya. – BERNAMA