HomePendidikanPupuk minat belajar bahasa asing namun giat martabat bahasa kebangsaan

Pupuk minat belajar bahasa asing namun giat martabat bahasa kebangsaan

 

Oleh: ARRIAN ZAYNE

KUCHING: Pupuk minat mempelajari bahasa asing ke dalam diri namun rakyat Malaysia harus mempergiatkan usaha memartabatkan Bahasa Malaysia.

Nasihat demikian disuarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika diminta mengulas mengenai kehadiran 13 orang pelajar dari Tokyo University of Foreign Studies (TUFS) Tokyo, Jepun termasuk dua pelajar senior berusia 75 dan 77 tahun yang bermalam di Kampung Santubong, Kuching Sarawak pada Jumaat.

Rombongan dari negara bunga Sakura itu harus dicontohi kata beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong kerana walaupun asing buat mereka namun nekad mendalami bahasa Malaysia.

“Saya berbangga melihat kini orang Jepun mahu belajar Bahasa Malaysia oleh itu kita sebagai rakyat Malaysia tidak seharusnya memperkecilkan bahasa kita sendiri.

“Kita mesti terus belajar bahasa Malaysia kerana ia adalah bahasa kebangsaan kita, dan kita mesti belajar serta tahu bercakap dalam bahasa ini,” katanya di program ‘Kembara Anak Samurai Ke Sarawak’ di Kampung Santubong.

Mengakui berbangga melihat keazaman pelajar dari negara Jepun mendalami bahasa ibunda negara oleh yang demikian kata Wan Junaidi rakyat Malaysia wajar memiliki hasrat serupa malahan usah memperkecilkan bahasa sendiri.

“Sebagai contoh, di Sarawak, kita menggunakan pendekatan dwibahasa di mana kedua-dua bahasa Malaysia dan Inggeris digunakan memandangkan
bahasa Inggeris telah menjadi lingua franca dunia dan manakala Sarawak menggunakan bahasa Inggeris, ia tidak bermakna negeri itu melupakan bahasa Malaysia,” tegasnya.

Meyakimi mempelajari bahasa Inggeris bukan suatu ekoran rakyat di negeri itu tidak melupakan kepentingan Bahasa Malaysia.

Mahir dalam bahasa Inggeris pula kata beliau memudahkan seseorang individu mengendalikan peranti pada masa sama bahasa global itu memudahkan penuturnya berkomunikasi ketika mengunjungi luar negara.

Selain bahasa Inggeris, beliau turut mencadangkan rakyat Malaysia mempelajari bahasa Arab ekoran menurut beliau bahasa itu akan menambah nilai serta memberi kelebihan kepada penuturnya.

Dalam perkembangan lain, kehadiran rombongan dari Jepun itu dibawakan khas menerusi program ‘Kembara Anak Samurai Ke Sarawak’ di Kampung Santubong, Kuching Sarawak.

Kunjungan ke Bumi Kenyalang selama lima hari bermula 1 hingga 5 Sept itu merupakan intipati program 17 hari ke Malaysia dan Sarawak telah dipilih sebagai destinasi pertama.

Author

Pilihan Editor