HomePendidikan140 pelajar PMDIC jalani bengkel amali mutawwif di Makkah, Madinah

140 pelajar PMDIC jalani bengkel amali mutawwif di Makkah, Madinah

SEPANG: Seramai 140 pelatih dan pegawai pengiring daripada Professional Mutawwif Development International College (PMDIC) kampus UITM Kota Samarahan Sarawak melakukan penerbangan sulung ke Makkah dan Madinah hari ini.

Kunjungan mereka ke negara Arab Saudi itu sebagai melaksanakan bengkel amali bagi melengkapkan Program Diploma Kemahiran Pengurusan Mutawwif (pemandu jemaah) Umrah dan Ziarah.

Pengarah Urusan Kolej Profesional Mutawwif Development (PMD) International, Abd Halim Ikhsan berkata, buat julung kalinya PMD dengan kerjasama 10 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan berlepas jam 2.30 petang ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka tiba jam 9 malam di Jeddah.

Abd Halim Ikhsan

“Mereka berada di sana 12 hari menjalani amali sebagai sebahagian daripada 60 peratus amali dan 40 peratus teori dalam dua tahun pengajian.

“Sepanjang setahun lebih di kampus mereka hanya belajar teori dan menjalani simulasi dengan replika masjid sebagainya.

“Tetapi dengan berada sendiri di sana mereka akan lalui pengalaman sebenar supaya pemahaman ini lebih jelas dan membolehkan mereka membawa jemaah nanti dengan lebih baik.

“Sepanjang bengkel, pelatih akan melakukan sendiri kerja dilapangan seperti urusan taklimat perjalanan dari KLIA, urusan check in bagasi di KLIA sehingga urusan check in Hotel.

“Mereka terbabit juga urusan imegresen, urusan ziarah dalaman di Madinah, urusan ziarah luaran Madinah, urusan ziarah luaran Makkah dan segala urusan yang melibatkan ibadah umrah dan lain-lain urusan,” katanya kepada MEDIA VARIASI di KLIA di sini hari ini.

Dalam pada itu, menerusi pendedahan ini pelatih akan mendapat pengalaman sebenar sebelum bergelar seorang Mutawwif yang profesional, setelah tamat mereka akan ditauliahkan oleh PMD di bawah Kementerian Sumber Manusia.

“Untuk memastikan mereka jadi mutawwif profesional, mereka perlu melihat sendiri masjid-masjid di dua tanah suci di Masjidilharam dan Masjid Nabawi.

“Kita tahu Masjid Nawabi sahaja 100 pintu, industri pelancongan sebelum ini takut ambil ejen yang tidak pernah ke Makkah dan Madinah,” katanya.

Tambahnya, cabaran yang dihadapi pelatih adalah mereka tidak pernah ke negara itu dengan keadaan norma baharu.

“Kita harap tiada isu mengenai berapa jumlah dos penggalak untuk masuk ke negara itu dan harap dipermudahkan mendapat keizinan untuk masuk ke masjid.

“Tetapi dengan berbekalkan ilmu yang dipelajari selama satu tahun lebih di PMDIC kampus UiTM Samarahan mudah-mudahan dapat membantu pelatih-pelatih melakukan bengkel dengan cemerlang seperti yang diharapkan walaupun tanpa pengalaman.

“Skop pembelajaran ini juga diperluaskan dengan menambah subjek pengurusan pelancongan agar kerjaya mutawwif pada masa akan datang tidak terhad hanya boleh membawa jemaah ke Makkah dan Madinah sahaja.

“Malah boleh bekerjaya sebagai Muslim Tour Leader iaitu boleh membawa pelancong melancong keseluruh dunia melalui pakej pelancongan Muslim,” katanya.

Author

Pilihan Editor