HomeBeritaPolitikCadangan kerajaan negeri robohkan Stadium Shah Alam tidak ikut prosedur - Salamon

Cadangan kerajaan negeri robohkan Stadium Shah Alam tidak ikut prosedur – Salamon

SHAH ALAM: Cadangan kerajaan negeri Selangor untuk merobohkan Stadium Shah Alam bagi membina sebuah stadium baharu yang lebih kecil dilihat tidak mengikut peruntukan undang-undang perancangan dan pelan pembangunan.

Pengerusi Jawatankuasa Selamatkan Stadium Shah Alam, Datuk Salamon Selamat mendakwa, kerajaan negeri tidak melaksanakan perancangan dan pembangunan Stadium baharu mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

“Majlis Bandar Shah Alam (MBSA) perlu membuat pameran awam terlebih dahulu yang mengandungi proses perancangan dan pelaksanaan pembangunan dengan memanggil pihak-pihak yang berkepentingan.

“Kerajaan negeri perlu bersemuka dengan pihak yang terkesan dengan pembangunan ini sekurang-kurangnya bersama 20 orang. Perlu membuat public hearing (pendengaran awam) bukannya buat melalui online (dalam talian) sahaja,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pengerusi Pertubuhan Kami Prihatin Selangor, Datuk Mua’adzam Shah Ya’akop mewakili Jawatankuasa Selamatkan Stadium Shah Alam hari ini memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan kerajaan negeri Selangor untuk merobohkan Stadium Shah Alam pada 16 Julai lalu.

Dalam pada itu, jawatankuasa ini juga mendesak tujuh tindakan yang perlu diambil tindakan oleh kerajaan negeri terhadap tujuh perkara.

Tujuh tuntunan itu merangkumi pelaksanaan projek mengikut Akta 172 (1976), impak pembangunan terhadap alam sekitar, kos baik pulih stadium sebanyak RM787 juta, kos pembinaan stadium baharu, keluasan tanah gantian bagi menampung kos pembinaan stadium mengikut nilai pasaran, kos merobohkan Stadium Shah Alam dan Stadium Malawati dan tempoh siap pembinaan stadium.

Terdahulu, media melaporkan gelanggang ikonik bagi pasukan bola sepak Red Giants didakwa akan diroboh dan digantikan dengan sebuah stadium baharu yang lebih kecil.

Stadium baharu berkenaan akan berkapasiti yang memuatkan anggaran 30,000 hingga 40,000 penonton serta lebih mudah dijaga serta diselenggara berbanding Stadium Shah Alam sekarang yang boleh memuatkan sehingga 80,300.

Author

Pilihan Editor