HomeBeritaKapal OPV 1 dalam keadaan baik – Maritim Malaysia

Kapal OPV 1 dalam keadaan baik – Maritim Malaysia

 

CYBERJAYA: Baru-baru ini, tular di aplikasi WhatsApp Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang baharu sahaja dilancarkan pada Isnin lalu kini hampir ‘tenggelam’.

Bagaimanapun, tanggapan warga maya bahawa kapal itu ‘rosak’ sebelum digunakan disangkal oleh pihak Maritim Malaysia apabila Ketua Pengarah APMM, Zubil Mat Som memaklumkan tiada isu serius berkaitan dengan kapal tersebut.

“Kapal itu dalam keadaan baik,” katanya dan berkongsi gambar terbaru kapal itu berlabuh berhampiran pekarangan, lapor FMT pada Rabu.

Sementara itu, Pengurus Besar TH Heavy Engineering (THHE), Azizul Hanafee Zain berkata, kejadian berlaku ketika pekerja sedang memotong kabel keluli yang dipasang pada struktur sokongan di bawah kapal.

“Apabila kabel dipotong pada satu sisi, ia mengakibatkan kapal itu ditarik ke arah yang lain.

“Kami telah menjangkakan ini. Kedudukan kapal kembali normal selepas semua kabel dipotong,” katanya.

Laporan itu turut memaklumkan bahawa kapal tersebut dijangka melalui beberapa ujian dan sesi latihan melibatkan anak kapal selama tiga bulan sebelum dihantar ke Beting Patinggi Ali di Sarawak pada awal 2023.

Terdahulu, kapal OPV 1 dilancarkan di pekarangan TH Heavy Engineering (THHE) di Pelabuhan Klang pada Isnin, tetapi video kapal senget itu telah tersebar di media sosial.

 

Author

Pilihan Editor