HomeBeritaPolitikKembalikan kegemilangan bola sepak Perlis antara manifesto PN Perlis

Kembalikan kegemilangan bola sepak Perlis antara manifesto PN Perlis

KANGAR: Usaha mengembalikan semula kegemilangan pasukan bola sepak Perlis akan menjadi satu daripada manifesto Perikatan Nasional (PN) Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Pengerusinya, Abu Bakar Hamzah.

“Sebelum ini, pasukan bola sepak negeri Perlis pernah menjuarai Piala Malaysia dua kali pada 2004 dan 2006, jadi kita ingin kembalikan semula detik nostalgia kegemilangan pasukan Singa Utara kepada rakyat negeri ini setelah sekian lama mengalami kejatuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Gegar Anak Muda Perlis (Gema Perlis Baharu) di Denai Larian, Pengkalan Asam di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abu Bakar yang juga Pengerusi Bersatu Perlis berkata PN Perlis akan mengumumkan nama calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2 Nov ini.

“PN Perlis akan bertanding di semua 15 kerusi DUN iaitu sembilan kerusi bagi calon PAS dan enam kerusi untuk Bersatu,” katanya.

Beliau berkata, bagi peringkat Parlimen, PAS akan bertanding di dua kerusi iaitu Padang Besar dan Arau manakala Bersatu di Kangar.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, PAS akan memperkasakan penggunaan media sosial sebagai ‘senjata’ baharu bagi menarik pengundi khususnya golongan muda pada PRU15 selain mengekalkan kaedah konvensional iaitu ceramah politik.

Ketua Pemuda PN Negeri Perlis itu berkata, PAS juga tidak lagi memberi tumpuan kepada ceramah secara besar-besaran sebaliknya akan menganjurkan kempen dalam bentuk skala kecil bagi memberi tumpuan mengikut bahagian atau kawasan.

“PN Perlis telah memilih cogan kata ‘Perlis Baharu’ bagi mendekati generasi muda dalam media sosial seperti Tik Tok, Facebook, Instagram dan juga Twitter,” katanya kepada pemberita pada majlis sama.

Asrul Aimran berkata selain media sosial, PN Perlis juga menganjurkan program sukan dan juga mengedar ‘Kad Keluar Mengundi’ sebagai sentuhan pertama mendekati golongan muda di negeri ini. – BERNAMA

 

Authors

Pilihan Editor