HomeHiburanSenariounion rancang satukan semula sembilan pelawak

Senariounion rancang satukan semula sembilan pelawak

KUALA LUMPUR: Meskipun zaman berubah, legenda kumpulan pelawak, Senario kini dikenali Senariounion masih kekal di hati rakyat.

Fenomena yang pernah dibawa kumpulan pelawak dengan komedi unik, malah mencipta pelbagai cabang hiburan termasuk pelawak solo atau berkumpulan yang mempunyai sitkom, album, konsert dan filem sendiri, menunjukkan mereka masih laris di pentas sketsa seni.

Justeru, salah seorang anggota, Saiful Apek atau Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, mendedahkan mereka mempunyai perancangan untuk bergerak secara berkumpulan dengan anggota asal dan baharu yang secara keseluruhannya seramai sembilan orang.

“Pada asalnya, Farouk Hussain dan Shamsul Ghau Ghau yang mewujudkan nama Senario bersama lima anggota lain, Wahid, Lan Pet Pet, Azlee Jaafar, Ilya Buang dan Hamdan Ramli.

“Selepas mengeluarkan album, mereka (Farouk dan Shamsul) tarik diri. Kemudian Pakya (Ilya) dan Pakdan (Hamdan) keluar, saya dan Yassin Yahya masuk, kalau dicongak congek, sembilan orang.

“Jadi, kita ada perancangan untuk satukan semua tapi buat masa ini kita bergerak tujuh tak termasuk Farouk dan Shamsul,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Apek ketika ini antara juri tetap dalam program Awesome Raja Lawak 2022 yang disiarkan di Raja Lawak Astro.

Sementara itu, Apek berkata, sekurang-kurangnya lima filem Senariounion akan ditayangkan tak lama lagi, selain sudah menghasilkan lima buah lagu termasuk lagu raya yang mendapat permintaan tinggi daripada peminat.

“Ada dalam empat lima filem akan ditayang tak lama lagi, dah siap penggambaran cuma saya masih sibuk dengan ahli Senariounion yang lain.

“Buat masa ini juga kami dah hasilkan lima buah lagu, lagu raya permintaan terlalu tinggi,” katanya yang tidak mengjangkakan Jaga-Jaga Senariounion yang diriliskan pada April lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Apek menambah, beliau menganggap kumpulan Senariounion ibarat rumah seni baginya.

“Saya tahu kat luar sana ramai mendoakan kami, kami bukan dah makin tua, tapi makin lama.

“Senario sampai mati bagi saya tak ada pintu keluar, duduklah kat dalam tu,” katanya.

Author

Pilihan Editor