HomeBeritaPolitikWan Saiful dakwa perbincangan sulit Anwar, Zahid masih berjalan

Wan Saiful dakwa perbincangan sulit Anwar, Zahid masih berjalan

CYBERJAYA: Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa bahawa perbincangan sulit di antara Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berjalan.

Wan Saiful berkata dalam kenyataan di Facebooknya pada Jumaat, beliau menerima maklumat mengenai perbincangan sulit di antara pasukan Zahid dan Anwar itu daripada ‘rakan dalam PH’.

“Dikatakan bahawa agendanya ialah kerjasama antara UMNO dan PKR untuk meminimumkan pertembungan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan seterusnya mengusahakan pembentukan kerajaan bersama.

“Katanya perkara ini dijalankan tanpa restu kepimpinan UMNO atau kepimpinan PH, tetapi banyak sesi perbincangan telah berjalan,” kata beliau.

Namun begitu, beliau menambah, setakat ini dakwaan tersebut hanyalah tuduhan, selagi pihak terlibat tidak mengaku atau menafikannya

Tambahan lagi, katanya, banyak berita palsu yang muncul dalam musim PRU15 ini.

“Tapi jika benar, ia tidak pelik. Rakaman perbualan antara Zahid dan Anwar jelas menunjukkan agenda mereka telah lama. Surat Zahid kepada Istana Negara mahu mengangkat Anwar juga bukan rahsia. Berita ini bukan baru.

“Mungkinkah benar perbincangan sulit antara Zahid dan Anwar semakin rancak? Benarkah Anwar dan Zahid sedang berusaha mengangkat satu sama lain naik ke Putrajaya melalui PRU15?

“Apa ‘deal’ yang ditawarkan? Adakah Anwar setuju melepaskan Zahid dari kes-kesnya? Atau adakah Anwar setuju jadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada Zahid kalau ‘deal’ ini benar?” soalnya lagi.

Justeru, beliau menggesa Zahid dan Anwar menjawab mengenai khabar angin dan pertuduhan ini sebagai penjelasan kepada rakyat memandangkan khabar ini semakin lama semakin kuat tersebar.

Author

Pilihan Editor