HomeBeritaPolitikAnwar Ibrahim isytihar harta, miliki aset RM11.1 juta

Anwar Ibrahim isytihar harta, miliki aset RM11.1 juta

CYBERJAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan aset bersih yang dimilikinya dianggarkan berjumlah RM11,178,667.80 setakat 31 Oktober 2022.

Pengisytiharan harta itu dimuat naik menerusi laman web calonkeadilan.org dengan surat perakuan bertarikh 9 November 2022.

Berdasarkan semakan, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dilaporkan memiliki aset hartanah dan kediaman bernilai RM10,350,000 membabitkan milikan tanah di Segambut Dalam; Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang, Mukim Bentong di Pahang dan Mukim Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Beliau turut mengisytiharkan aset tunai dan simpanan berjumlah RM828,667.83 manakala pendapatan bulanannya sebagai Ahli Parlimen Port Dickson sebanyak RM21,755.80.

Anwar turut menjelaskan bahawa pengisytiharan harta itu dibuat lewat berikutan jadual beliau yang agak padat.

Menurut beliau, pengisytiharan tersebut tertangguh sedikit kerana terpaksa menandatangani Akuan Berkanun (SD) di hadapan peguam dan pesuruhjaya sumpah.

“Saya sudah buat, semuanya selesai cuma tempoh hari saya belum tandatangan kerana belum pulang ke Kuala Lumpur.

“Sebelum ini, saya berkempen di Johor, saya baru pulang pukul 2 pagi dan bergegas untuk selesaikan SD,” katanya seperti dilapor Kosmo pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Dialog Ada Apa Dengan Korupsi di Bangsar di sini hari ini.

Tambahnya, presiden mana-mana parti yang bertanding pada PRU15 perlu mengisytiharkan harta masing-masing.

“Sepatutnya mereka juga harus mengisytiharkan harta mereka, Pas dan Bersatu juga sama. Perlu berani berdepan dengan pengundi,” ujarnya.

Terdahulu, sebahagian besar daripada 72 calon PKR membuat pengisytiharaan aset mereka kelmarin.

Author

Pilihan Editor