HomeBeritaAnwar Ibrahim sah Perdana Menteri ke-10

Anwar Ibrahim sah Perdana Menteri ke-10

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah disahkan sebagai Perdana Menteri ke-10 pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu disahkan pihak Istana Negara melalui kenyataan di Facebook rasminya sekitar jam 1.40 petang pada Khamis.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkara tersebut merupakan keputusan daripada Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bersama-sama dengan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada pagi ini di Istana Negara.

“Setelah memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Proses seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan, dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan berlangsung pada jam 5 petang hari ini di Istana Negara,” katanya.

Author

Pilihan Editor