HomeMV+Pendapat'Banned mentality' ISA beri kesan terhadap PRU15

‘Banned mentality’ ISA beri kesan terhadap PRU15

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) ternyata benar-benar membuka mata rakyat dalam pelbagai sudut dengan bantuan media sosial.

Perlaksanaan demokrasi melalui kuasa rakyat yang belum cukup ampuh menentukan pembentukan kerajaan, ditambah 70 peratus undi rosak anak-anak muda Undi18.

Kerajaan ‘tergantung’ akibat tiada kebersamaan selepas PRU15 yang akhirnya memerlukan kuasa mutlak oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. dan Majlis Raja-raja (MRR) menentukan Perdana Menteri (PM).

Terbaharu dalam keadaan negara yang masih kekalutan menunggu siapa PM10, seorang suspek lelaki berusia 30-an ditahan di Kajang, selepas memuat naik kandungan berunsur ancaman terhadap Agong.

Suspek menggunakan akaun Instagram williamkhor87 sebelum ini memuat naik satu kandungan dengan foto Agong dengan tulisan berunsur ugutan ke atas Seri Paduka dan institusi Raja.

Ada yang bertanya adakah ini kesan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960?

Dua undang-undang yang menggantikan ISA iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau ringkasnya SOSMA dan Akta Perhimpunan Aman 2012 diluluskan Dewan Rakyat pada 2012.

Analisis kewartawanan ini dibuat dengan teliti agar fakta yang tepat disampaikan kepada rakyat, penulis mendapatkan pandangan kedua daripada peguambela.

Beliau memiliki pengalaman puluhan tahun sebagai Pendakwaraya iaitu Datuk Haniff Hashim dari firma Tetuan Haniff & Co, menariknya beliau juga adalah pegawai polis sebelum dedikasi hidupnya sebagai peguam telah bersetuju dengan analisis ini.

Kerana sejak ketiadaan ISA walaupun diganti dengan SOSMA yang kini telah dikurangkan kuasanya pada zaman pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, macam-macam telah berlaku.

Pada 2012, kerajaan memansuhkan ISA 1960 dan Akta Buang Negeri 1959.

Siapa yang membuat keputusan ini? Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2011, mengumumkan kerajaan memansuhkan kedua-dua akta terbabit.

Mungkin Najib yang ketika ini sedang ‘berehat’ di penjara timbul sesal di hati kerana membuat keputusan salah dan mengikut pendapat ‘banned mentality’ untuk memansuhkan akta pencegahan, ISA.

Kononnya untuk mendapat sokongan rakyat yang momokkan bahawa ISA ini tiada kemanusiaan kerana tahan dahulu baru cari bukti.

Apa yang rakyat tidak faham dan tidak dijelaskan dengan baik, keperluan kepada undang-undang pencegahan seperti ISA adalah bagi mengawal negara daripada kumpulan yang cuba merosakkan keharmonian dan kestabilan negara.

ISA sebetulnya mencegah anasir subversif seperti komunis, ektremis agama serta ektremis politik, bab ideologi pemikiran bagaimana hendak dibuktikan dengan mudah?

Undang-undang yang ada pada hari ini kurang berkesan sebagai mekanisme pencegahan kerana ia terpakai apabila seseorang itu ditangkap dan diambil tindakan sahaja sedangkan apabila sesuatu berlaku, kemungkinan ia telah membawa kerosakan besar kepada negara, kesannya seperti keselamatan tidak boleh undur semula.

Sebagai contoh tragedi Al Mau’nah, Memali berlaku hasil daripada pemikiran subversif, hasutan, fitnah dan kebencian ditanam sehingga mengorbankan nyawa antara penduduk dan pasukan keselamatan.

15 pengikut Al-Mau’nah dibebaskan dari tahanan ISA pada 24 November 2003.

Bagaimanapun pembebasan mereka tertakluk dengan syarat yang ketat termasuklah hanya dibenarkan berada di daerah tertentu sahaja, diwajibkan melapor diri ke balai polis setiap minggu dan dilarang keluar rumah dari pukul 9 malam sehingga 6 pagi keesokan harinya.

Kejayaan ISA boleh dilihat apabila sudah tidak wujud tragedi sama, malah kumpulan militan Jemaah Islamiah yang pernah bertapak di Johor walaupun bertukar nama Jamaah Islah kini dikatakan sedang ‘berhibernisasi’.

Seperti yang dinyatakan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad keputusan kerajaan memansuhkan ISA sebagai satu kesilapan.

Sejak ketiadaan undang-undang itu, pihak subversif dilihat mengambil peluang dalam kempen sepanjang PRU15 dan pasca PRU15 untuk menyebarkan fitnah, hasutan.

Bahan kandungan elektronik mengutuk sistem beraja, mengutuk agama Islam, kaum dan sebagainya, tidak menjaga keharmonian hidup berbilang bangsa.

Disebabkan tiada akta ini juga, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kajang mengadakan hari memperingati jasa-jasa komunis di sebuah kedai makan menggunakan dekorasi bertemakan perjuangan komunis ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tiada sesiapapun ditangkap ketika itu, hanya sekadar polis dakwa ambil keterangan.

Tanpa ISA, undang-undang lain tidak cukup taring dan buktinya 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), dibebaskan juga ketika era pentadbiran Mahathir.

Mereka sebenarnya telah berjaya menghakis satu demi satu perkara dalam Perlembagaan Malaysia.

Kebijaksanaan mereka ini adalah mencari ‘loop hole’ atau penampan agar mereka tidak dilihat pelakunya.

Kelemahan akta pencegahan selain ISA adalah ia tidak boleh menahan suspek lebih lama sehingga semua bukti berjaya diketengahkan, kini selepas mantan Menteri KDN dari blok Perikatan Nasional tidak pertahankan SOSMA akhirnya taringnya hilang.

Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebelum ini pernah mengingatkan, kerajaan mesti meneliti kesannya sebelum bertindak memansuhkan undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).

Jelasnya, pemansuhan itu menyebabkan peningkatan ketara dalam kes jenayah berat khasnya yang membabitkan kumpulan kongsi gelap berebut kawasan masing-masing.

Beliau tidak setuju kalau ia dimansuhkan, dan tanpa SOSMA, POCA dan POTA negara tidak mampu mengekang kegiatan pengganas yang terlatih seperti kumpulan Daesh, kumpulan penjenayah terancang yang bersenjata lengkap dan ganas.

Untuk rekod, ISA 1960 dimansuhkan 31 Julai 2012 dan diganti dengan SOSMA yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 17 April, 2012, diberikan perkenan Diraja pada 18 Jun 2012, dan diwartakan pada 22 Jun 2012.

Bagaimanapun, pada 22 Julai 2018, Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri ketujuh berkata, kerajaan akan memansuhkan undang-undang yang banyak menindas rakyat khususnya SOSMA selain pemansuhan POCA dan POTA.

Isunya berapa peratuskah rakyat yang tegar jejaskan keharmonian kaum?

Adakah orang ‘degil and hardcore’ mencapai lebih 10,000 orang pada satu masa sehingga undang-undang terus dimansuhkan untuk ‘beri kebebasan’?

Apa jadi pada hak 36 juta rakyat yang taat undang-undang, yang hidup secara harmoni yang berhak mendapat ketenangan tetapi sebaliknya mereka terpaksa berhadapan dengan ‘penyangak’ yang bebas ke sana ke mari kerana ketiadaan undang-undang seperti ini.

Sewajarnya tambah baik ISA, SOSMA, POCA, POTA bukan dimansuhkan, diberi asas kemanusiaan bukan menerapkan ‘banned mentality’ kerana kita tidak tahu ia sebenarnya masih lagi berguna untuk keharmonian negara.

Keputusan Ahli Parlimen pada 2012 memberi mudarat pada negara sekarang, maka perlantikan Perdana Menteri yang baharu diharapkan dari kalangan mereka yang berpandangan jauh dan bukan hanya memuaskan hati satu kelompok sahaja.

Akibat terpengaruh kepentingan kumpulan kecil yang kaki bising, nasib 36 juta rakyat Malaysia kini terancam dengan bunga bunga perpecahan, cinta negara makin pudar.

Apa kaitan sekarang? Apakah undang-undang yang telah dimansuhkan, tidak boleh dikembalikan lagi?

Adakah sama mengikut jejak rang undang-undang mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu yang dibuat pada zaman Mahathir, pergi tanpa kembali.

Kesan pemansuhan ISA 1960 harus jadi pengajaran dan dipertimbangkan kerajaan sekarang sebelum memansuhkan undang-undang pencegahan lain seumpamanya.

Author

Pilihan Editor