HomeBeritaPolitikDr Sathia kutuk tindakan koyak 'banner' sebagai gengsterisme

Dr Sathia kutuk tindakan koyak ‘banner’ sebagai gengsterisme

SERENDAH: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan mengutuk perbuatan mengoyak kain rentang atau bunting adalah sikap gengsterisme.

Tanpa menyebut pihak mana yang bertanggungjawab, beliau berkata sebelum ini beliau ditegur agar tidak menyentuh isu dadah, arak dan gengsterisme (DAG) bagi mengelak sokongan beralih arah.

Itu teguran diberikan sesetengah pihak kepada Sathia, namun demi kepentingan rakyat beliau tidak mengendahkannya.

Beliau tidak mahu menipu diri sendiri dengan menyembunyikan perkara itu dan merasa bertanggungjawab untuk menyampaikannya kepada semua pengundi.

“Banyak yang beritahu saya nasihat, doktor… satu isu doktor jangan cakap… DAG jangan cakap.

“Dia kata isu ini sangat sensitif, orang tidak akan sukakan doktor dan tidak akan undi doktor.

“Saya kata, minta maaf saya tidak boleh tipu diri sendiri. Perkara ini perlu didedahkan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mengoyakkan kain rentang (banner) calon yang dipasang di sebuah kawasan dekat Pinggiran Tasik Kiambang, di sini.

Dr Sathia berkata, beliau tidak menolak kemungkinan perbuatan itu didalangi individu tertentu yang sengaja menimbulkan provokasi.

Katanya, jika beliau mengambil sikap berdiam diri dan tidak mendedahkan isu itu dibimbangi akan memburukkan lagi keadaan termasuk melahirkan generasi yang tidak bertanggungjawab dan suka melanggar undang-undang.

“Bila kita fikir memang penat, bila tengok banner kena potong (dikoyakkan).

“Masalahnya bila saya dapat tahu rupanya mereka dibayar untuk buat sedemikian.

“Bayarlah untuk tolong orang daripada bayar untuk buat benda yang tak betul.

“Jangan bazirkan duit untuk benda yang tak betul. Kalau betul nak bagi duit untuk potong bendera dan potong ‘bunting’, lebih baik bayar duit untuk bersihkan kawasan yang kotor,” katanya.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa membuat siasatan.

Dalam pada itu, Dr Sathia mencadangkan agar kempen PRU akan datang tidak lagi menggunakan bahan fizikal seperti bendera dan kain rentang.

Sebaliknya, negara perlu mengamalkan konsep ‘Go Green’ yang lebih mesra alam dan dapat mengelakkan perbuatan khianat seperti merosakkan bahan kempen yang telah dipasang.

Tambahnya, kempen digital dilihat lebih relevan serta tidak membazirkan wang dan tenaga.

Malah, beliau percaya bertan-tan sampah akan terhasil kesan daripada kaedah kempen fizikal yang diamalkan sekian lama.

Author

Pilihan Editor