HomeBeritaPolitikHikmah di sebalik 'Kerajaan Tergantung'

Hikmah di sebalik ‘Kerajaan Tergantung’

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah melabuh tirainya dengan penuh kejutan dengan ‘Kerajaan Tergantung’ dengan tiada siapa melepasi garis 112 kerusi di Parlimen.

BN hanya menang 30 kerusi atau 17 peratus daripada jumlah seluruh 178 kerusi yang terburuk dalam sejarah.

Ramai nama-nama besar kecundang walaupun dikatakan berada di tempat selamat, rakyat telah menghantar amaran, mengajar dan menunjuk kepada pemimpin apa yang mereka mahu.

Pengerusi Sekretariat Gabungan NGO Selangor, Datuk Nazilah Idris berkata, hikmah daripada PRU15, Allah SWT telah memberi teguran kepada semua pemimpin Melayu Islam yang tidak ikhlas berjuang untuk rakyat.

“Mereka mendabik dada kata ini untuk penyatuan Melayu dan Islam tetapi semakin berpecah, memberi ruang besar kepada orang luar yang sudah lama mahu jadikan negara ini seperti Singapura.

“Hikmahnya kita lihat Pengasas Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya terpaksa akhiri karier politik dendamnya apabila kalah dan hilang deposit dengan kemenangan diberi kepada calon Bebas di Langkawi.

“Legasi Tun M memecah belah Melayu menerusi parti serpihan telah berakhir. Itulah hikmah terbesar Allah nak tunjuk. Melayu perlu ‘reset’ balik kepada penyatuan seperti pulut kuning.

“Amaran jelas dari Allah kepada Tun M bahawa hidup jangan menongkat langit, manakala Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula walaupun sudah bergabung dengan DAP masih gagal membentuk kerajaan dan terpaksa menagih dari BN atau PN untuk menobatkannya jadi PM ke-10.

“Pengerusi BN pula, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hanya menang dengan majoriti tipis, menang sorak kampung tergadai dan didesak akar umbi dan rakyat Malaysia untuk lepaskan jawatan atas kekalahan paling buruk dalam sejarah BN di Malaysia.

“Apa yang berlaku ini adalah teguran dari Allah supaya jangan angkuh dan terima teguran yang betul,” katanya.

Tambah Nazilah, namun apa yang menarik di sebalik semua ini, BN walaupun mendapat 30 kerusi, Allah tetapkan BN jadi ‘King Maker’ kepada semua gabungan jika mahu membentuk kerajaan.

“Itulah hikmah terbesar masih diberi ruang untuk BN ada kuasa dalam kerajaan bagi menjaga kepentingan Melayu dan Islam.

“Apa-apapun penyatuan ummah adalah jawapan dan solusi terbaik dalam usaha membentuk kerajaan yang stabil.

“Parlimen bakal mewujudkan kerajaan campuran kembali dan tidak stabil.

“UMNO-BN hanya perlu terus jadi ‘indie coalition’ dan menanti peluang wujud untuk kembali berkuasa,” jelasnya.

Nazilah mengingatkan kembali objektif utama PRU15 dibentuk untuk mendapat kestabilan, Allah pun sudah permudahkan dengan tiada banjir besar seperti yang diramalkan sebelum ini.

“Namun apa yang berlaku kestabilan belum tercapai kerana keegoan masing-masing, kerajaan tergantung sehingga kini, jadi ambillah semua hikmah cara Tuhan tegur hambaNya cukuplah berpecah belah, jadi seperti pulut kuning.

“Ketepikan perbezaan dan keegoaan masing-masing kasihanilah rakyat binalah negara secara harmoni.

“Tahun 2023 lebih mencabar, ekonomi tidak stabil dan kiamat iklim yang semakin menghampiri.

“Semua pihak dalam negara perlu amalkan politik matang, selepas PRU hentikan bercakap mengenai perbezaan politik dan fokus kepada membina negara, perpaduan dan prihatin kepada kebajikan rakyat,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor