HomeBeritaPolitikSistem Westminster: PM dari parti menang kerusi terbanyak

Sistem Westminster: PM dari parti menang kerusi terbanyak

KUALA LUMPUR: Sistem demokrasi di negara ini secara keseluruhannya mengikut persamaan demokrasi sistem Westminster, dari England.

Sistem Westminster mengambil namanya daripada Istana Westminster, tempat Parlimen Model 1295 diadakan.

Dewan Parlimen England masih berada di Istana Westminster.

Westminster adalah nama sebuah daerah di London dan merupakan rumah kepada beberapa tempat yang paling terkenal di London.

Demokrasi adalah perkataan Greek yang dibina daripada dua patah perkataan iaitu ‘demos’ dan ‘kratos’ yang bermaksud pemerintahan rakyat.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata, jika ikut sistem Westminster, parti yang menang kerusi majoriti jadi Perdana Menteri.

“PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan berjaya memperoleh 82 kerusi, jadi ikut sistem ini calon PM mesti dari PH.

“Bagaimanapun semuanya terpulang kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong buat keputusan.

“Situasi sekarang adalah krisis nak pilih PM, kalau ikut sistem demokrasi Westminster yang kita guna sekarang, yang paling banyak dapat kerusi majoriti akan dilantik jadi PM.

“Keputusan YDPA tidak akan dapat puaskan hati semua orang, kena ikut terjemahan keputusan peti undi,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Tambahnya, sebenarnya kita dalam kebuntuan, sebab kerajaan yang ada sekarang tidak dapat buat keputusan.

“Terpulang kepada YDPA, desak mereka bergabung atau macam mana, harap YDPA dinasihati oleh orang yang betul dan pakar,” katanya.

Saingan untuk menjadi Perdana Menteri ke-10 terarah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pada PRU15, PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, manakala PN pula mendapat 73 kerusi.

Untuk menubuhkan kerajaan, sesebuah parti atau gabungan parti perlu mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Author

Pilihan Editor