HomeMV+EksklusifPenceritaan Melayu jadikan nilai lukisan Pak Mail jutaan ringgit

Penceritaan Melayu jadikan nilai lukisan Pak Mail jutaan ringgit

JIKA anda melihat potret mantan Perdana Menteri dan beberapa wajah tokoh mengenakan pakaian ala bangsawan dahulu kala tergantung di Pusat Dagangan Putra (WTC), ia sebenarnya adalah karya agung tokoh Pelukis Negara, Ismail Embong.

Pelukis Negara ini bukan sahaja berbakat, malah karyanya juga lebih menakjubkan kerana jalan penceritaan Melayu yang disampaikan menerusi setiap naskah lukisan.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Pak Mail adalah seorang insan yang amat merendah diri walaupun pelbagai anugerah diperolehinya sehingga ada yang menganggap beliau sebagai pusat rujukan seni lukisan kepada karyawan.

Lukisan pahlawan di PWTC karya Pak Mail

Perincian yang terlalu halus dan teliti setiap subjek dari hujung kaki hingga ke hujung rambut dengan makna tersendiri, digarap dengan amat baik oleh jemari berusia lapan dekad ini.

Antara hasil karya beliau yang mencipta sejarah adalah rentetan peristiwa di dalam buku Sulalatus Salatin: Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang dilukisnya bermula 30 tahun lalu sehingga kini sudah terhasil beratus keping.

Ia disusun mengikut jalan cerita atau ‘story board’ sehingga 500 kaki panjangnya, menjadikannya lukisan terpanjang di dunia.

Story board penceritaan Melayu terpanjang di Malaysia dihidupkan menerusi hasil tangan Pak Mail

Apa yang lebih menarik, beberapa wajah Melayu dengan sejarah masing-masing diterjemah secara tersirat dan tersurat mengikut apa yang berlaku pada hari ini.

Ibarat dianugerahkan daya pentaakulan yang tinggi, wajah-wajah dari peradaban lampau itu dilukiskan mirip kepada tokoh-tokoh pemimpin hari ini.

Pelukis kelahiran Terengganu ini menceritakan kadang-kadang untuk mendapat satu gambaran yang baik tentang sesuatu lukisan beliau akan tidur dahulu.

“Biasanya selepas bangun tidur, beberapa gambaran yang baik akan dipersembahkan dalam lukisan.

“Sebagai contoh saya dapat firasat bagaimana Tun Fatimah menentang penjajah sebelum ini.

“Penceritaan sejarah daripada lukisan ini menjadikannya ia bernilai tinggi,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Pak Mail bersama potret Tun Fatimah yang dilukisnya

Lukisan Pak Mail dibeli oleh golongan elit berharga antara RM150,000 hingga jutaan ringgit.

Tiada siapa boleh mempertikaikan fakta bahawa seni lukisan boleh memberi pulangan pendapatan yang mewah jika ia diangkat di tempat sepatutnya.

Kehebatan Pak Mail ini turut mendapat perhatian dunia luar sehingga ada warga United Kingdom termasuk mendiang Ratu England sendiri yang mengiktiraf bakatnya  dengan menganugerahkan pingat keberanian kepadanya.

Bukan sekadar jari jemarinya bernilai jutaan ringgit, namun beliau juga melahirkan 11 anak yang semuanya berbakat dalam dunia seni yang banyak cabangnya.

Bagaimanapun, seorang daripada 11 anak itu sudah meninggal dunia.

Anaknya yang juga artis terkenal, Emma Maembong sudah mula mengikut jejak Pak Mail sejak kanak-kanak lagi, malah pada usia belasan tahun dia turut memperagakan tulisan ala zaman dahulu kala dalam setiap naskah lukisan Pak Mail.

Emma Maembong tekun melukis mengikut jejak Pak Mail

Pakar rujuk lukisan ini melihat wajah etnik yang perlu diangkat, dikenali, diketahui asal usul mereka dan semua lukisan wajah ini diabdikan menerusi bukunya.

Jelas kesungguhannya dalam menggali kekuatan makna kemelayuan yang telah lama wujud di Tanah Melayu.

Lukisan Tun Fatimah ketika hari perkahwinan oleh Pak Mail

Daripada seni reka kepada seni lukisan

Pak Mail menerima pendidikan di Kolej Seni dan Rekaan, England dalam bidang seni bina pada awal 1970 hanya mula bergiat secara aktif sebagai pelukis pada pertengahan 1980-an.

Sebagai arkitek, Ismail antara tokoh yang merekabentuk Rumah Karyaneka di Jalan Raja Chulan pada awal 1980-an.

Seni bina Melayu menjadi ukuran kekuatan sesebuah bangunan di Nusantara.

Beliau selalu bercerita mengenai keunikan bangsa Melayu membina penempatan. Arah angin, cuaca dan bentuk muka bumi menjadi ukuran utama.

Paling unik, seni bina Melayu tradisional tidak menggunakan paku, sebaliknya menggunakan pasak dan baji sebagai pengikat atau penyambung komponen utama bangunan.

Selepas menamatkan pengajian, beliau mulanya berkhidmat sebagai pensyarah di Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA ) pada 1982, namun mengambil keputusan menamatkan khidmatnya untuk mengabdikan dirinya dalam dunia lukisan.

Ternyata caturan hidupnya tidak salah, anugerah demi anugerah diterima.

Antaranya, Anugerah Penggerak Budaya dan Warisan sempena Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) ke-14 di Banda Hilir, Melaka.

Sehingga ke hari ini, beliau telah menghasilkan ratusan karya bukti kecintaannya dalam sejarah dan identiti Melayu.

Melayu jika tak kenal Melayu akan bunuh Melayu, disampaikan secara tersirat menerusi lukisan Pak Mail

Sebagai seniman yang bergerak dengan bas pamerannya dan tidak terikat dengan mana-mana organisasi beliau mahu terus bebas dalam menghasilkan karya dan pemikirannya mengenai Melayu.

Bagi Pak Mail, Melayu itu adalah alam pemikiran kepimpinan untuk memerintah atau dalam erti kata lain apa-apa yang dilakukan akan jadi ikutan orang lain.

Namun kehebatan Melayu tiada boleh ditukar ganti ibarat ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

Author

Pilihan Editor