HomeTeknologiTerato Tech lancar aplikasi bantu rakyat ketika banjir, KitaJaga versi 2.0

Terato Tech lancar aplikasi bantu rakyat ketika banjir, KitaJaga versi 2.0

KUALA LUMPUR: Terato Tech Sdn Bhd melancarkan aplikasi yang berjaya menolong ratusan rakyat Malaysia yang terkesan banjir awal tahun ini, KitaJaga versi 2.0.

Terato Tech memaklumkan dalam kenyataan pada Khamis, KitaJaga versi 2.0 diperbaharui dengan kemaskini penting termasuk kempen Banjir Watch yang dipertingkat, susulan musim tengkujuh yang akan melanda negara.

Menurutnya, KitaJaga 2.0 menyediakan persekitaran yang lebih selamat dengan mewajibkan pengguna mendaftar dan mencipta profil sebelum dapat menggunakan aplikasi itu.

“Tambah lagi, ia juga memperkenalkan ciri sembang (Chat) yang membolehkan pengguna menghubungi pihak yang meminta tolong (Helpee) menggunakan kotak bual tanpa mendedahkan nombor telefon bagi melindungi maklumat peribadi.

“Mulai sekarang, KitaJaga hanya membolehkan Banjir Watch dicapai melalui aplikasi mudah alih dan tidak lagi melalui laman sesawangnya.

“Tindakan ini membantu meningkatkan pengalaman pengguna dengan membolehkan mereka menerima notifikasi keadaan banjir dalam telefon mudah alih mereka dan lokasi pin mereka ditanda dengan lebih tepat,” katanya.

Ciri-ciri baharu utama yang diperkenal dalam Banjir Watch ialah:

Notifikasi Pengawasan Banjir Pelbagai Lokasi: Ciri ini membolehkan pengguna memantau keadaan banjir di pelbagai lokasi menggunakan profil pengguna tunggal dan aplikasi akan menghantar notifikasi kawasan terkesan banjir setiap 15 minit.

Pin Automatik KitaJaga – Twitter: Untuk menggunakan ciri ini, pengguna mesti menggunakan tanda @banjirwatch melalui ciapan di Twitter, dan hanya perlu memberi KitaJaga nama, lokasi, dan jenis pertolongan yang diperlukan lalu pin akan tercipta secara automatik dalam aplikasi KitaJaga.

Bantuan oleh Organisasi: Ciri yang memudahkan organisasi melancarkan bantuan dalam KitaJaga dengan memasukkan nama organisasi apabila menawarkan pertolongan.

Reza Razali

Sementara itu, Pengasas Terato Tech dan KitaJaga, Reza Razali gembira kempen Banjir Watch mereka memberi kesan positif terhadap masyarakat.

Sebagai contoh, ketika waktu di antara Disember 2021 dan Jun tahun ini, kempen Banjir Watch mereka merekodkan 377 pin Helpee dan 426 pin Helper di Shah Alam.

“Kami telah menambah baik aplikasi untuk memberi khidmat lebih baik kepada masyarakat kita, jadi saya galakkan pengguna kami mengemaskini aplikasi KitaJaga dalam telefon pintar mereka untuk menikmati ciri-ciri baharu ini secepat mungkin.

“Selain ciri-ciri tersebut, kempen Banjir Watch KitaJaga juga mempunyai fungsi baharu. Contohnya, kempen kini memaparkan amaran banjir berkod warna untuk tahap Perhatian, Amaran, dan Bahaya yang muncul sebaik sahaja aplikasi KitaJaga dilancarkan.

“Dengan kemaskini baharu juga, KitaJaga sedia bekerjasama dengan badan bukan kerajaan, syarikat swasta, atau agensi kerajaan dalam kempen Banjir Watchnya,” ujar Reza.

Beliau juga berharap pihaknya dapat menjalin kerjasama baharu termasuk dengan agensi kerajaan supaya mereka dapat memenuhi keperluan penduduk dan menyelaras kerja menyelamat menggunakan maklumat yang didapati melalui KitaJaga.

Untuk makluman, Banjir Watch KitaJaga baharu boleh didapati untuk peranti Android dan iOS.

Author

Pilihan Editor