HomeBeritaPolitikRundingan PH, BN masuk ke fasa yang serius

Rundingan PH, BN masuk ke fasa yang serius

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa rundingan membentuk kerajaan di antara parti itu dengan Barisan Nasional (BN) memasuki fasa yang serius.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa PN mempunyai jumlah Surat Akuan melebihi 112 yang cukup untuk membentuk kerajaan.

“PH telah memasuki fasa rundingan yang serius dengan BN. Rundingan tersebut telah membincangkan perkara-perkara utama yang menyentuh tentang kestabilan politik dan pemulihan ekonomi, dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan.

“Hasil perbincangan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” kata Saifuddin dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Saifuddin, beliau mengambil maklum berkenaan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa sebarang rundingan mana-mana Ahli Parlimen BN dengan parti-parti lain adalah tidak sah.

Jelasnya, rundingan tersebut tidak boleh diambil kira sebagai bukti sokongan majoriti kepada mana-mana calon Perdana Menteri, malah boleh menyebabkan Ahli Parlimen BN tersebut hilang kerusi seperti yang dipersetujui dalam akuan berkanun mereka tandatangani.

“Pada masa yang sama, kami mengambil maklum penafian Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa satu kenyataan media yang tular menyatakan 10 Ahli Parlimen UMNO menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri adalah tidak benar.

“Oleh yang demikian, PH berpendirian bahawa kenyataan Setiausaha Agung PN itu adalah pramatang, mustahil dan tidak konklusif berkait angka sokongan majoriti yang didakwa telah mereka capai,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor