HomeBeritaPolitikTiada rundingan diadakan antara BN dengan GPS dan PN - Ahmad Zahid

Tiada rundingan diadakan antara BN dengan GPS dan PN – Ahmad Zahid

CYBERJAYA: Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak pernah berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan membentuk kerajaan bersama.

Beliau yang merupakan Presiden UMNO itu berkata demikian susulan kenyataan Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa pihaknya akan setuju untuk bergabung dengan Perikatan Nasional (PN), BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Menurut Ahmad Zahid, BN juga sehingga kini tidak mengadakan sebarang rundingan bersama PN yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman untuk membentuk kerajaan gabungan.

“Dalam pada itu, kesemua ahli Parlimen BN yang memenangi PRU15 telah menandatangani akujanji dan memberi mandat kepada saya selaku Presiden untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan Kerajaan.

“Sehubungan itu, mana-mana ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen, selaras dengan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termasuk di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, akar umbi UMNO dilihat terang-terangan menggesa Ahmad Zahid untuk meletak jawatan ekoran kejatuhan prestasi BN pada PRU15.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid sehingga kini masih belum memberi sebarang bayangan berhubung peletakan jawatan itu.

Author

Pilihan Editor