HomeBeritaViralUstaz Azhar Idrus tampil jelaskan hukum isu bersalin dengan doktor lelaki

Ustaz Azhar Idrus tampil jelaskan hukum isu bersalin dengan doktor lelaki

 

CYBERJAYA: Baru-baru ini, tular di media sosial kelantangan sepasang suami isteri yang menegaskan bahawa kaum ibu tidak sepatutnya mendedahkan aurat di hadapan lelaki yang bukan suami mereka termasuklah ketika menjalani proses kelahiran anak.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ustazah Siti Afifah dan Ustaz Zaidi Tohirin, yang menganggap hanya suami ‘dayus’ biarkan isteri bersalin dengan doktor lelaki itu nyata menimbulkan kemarahan warga maya khususnya dalam golongan yang tidak berkemampuan.

Perkara itu turut mendapat perhatian pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus yang tampil memberi penjelasan mengikut syariat Islam.

Menurut Ustaz Azhar yang mesra dengan panggilan UIA, hukum haram dari segi perubatan boleh berubah sekiranya darurat.

“Dengar baik-baik. Hukum yang asal perempuan itu berubat dengan perempuan. Lelaki berubat dengan lelaki kerana masalah aurat. Sesama perempuan walaupun aurat, haram melihat tapi lebih berat jika berlainan jantina

“Jadi dalam bab berubat, dia ada kadar-kadarnya. Bila masuk sempadan darruroh (darurat), apa yang haram diangkat hukumnya sekejap.

“Allah sebut dalam al-Quran, ‘Barangsiapa yang masuk pada situasi tidak boleh lagi membuat pilihan, bukan sengaja atau tidak berlebih-lebihan, tidak berdosa,’ katanya dalam sebuah sesi ceramah yang turut disiarkan di laman YouTube rasminya.

Beliau turut memberi contoh situasi darurat bagi memberi gambaran jelas berhubung isu berkenaan.

“Asalnya, ‘Allah haramkan kamu makan bangkai, darah dan babi. Tetapi di padang pasir kamu kelaparan, tak jumpa makanan tetapi jumpa bangkai. Ada pilihan lain tak? Tak ada.

“Keadaan darurat itu membolehkan apa yang tidak boleh. Jadi nak beranak, isteri mesti beranak dengan doktor perempuan. Tetapi jika tidak ada doktor perempuan hanya lelaki. Sedangkan beranak itu kritikal, yang berkait dengan dua nyawa iaitu ibu dan anak dalam kandungan.

“Oleh kerana tidak ada doktor perempuan, jadi ambil doktor lelaki maka tidak berdosa.

“Apa pulak kata dayus? Tak haram! Yang haram bila ada doktor perempuan tetapi nak juga doktor lelaki yang selak kain isteri. Faham tak?” soalnya.

Ustaz Azhar turut mengingatkan bukan semua golongan mampu membiayai kos bersalin di hospital swasta yang mencecah hampir RM8,000.

Lantas, hospital kerajaan sajalah yang mampu dijadikan pilihan masyarakat dan tentunya mereka terpaksa akur dengan ketetapan doktor yang berkhidmat.

“Orang yang ada duit, pergi dekat doktor perempuan di swasta. Dia bolehlah (bayar), sekali beranak sampai RM7,000 hingga RM8,000.

“Kalau yang cukup-cukup makan, nak cari mana duit itu? Itu yang pergi hospital kerajaan. Nasib baik dapat doktor perempuan, kalau tak lelaki. Hukumnya harus kerana tidak ada pilihan!” jelasnya.

Author

Pilihan Editor