HomeBeritaZaliha gesa SPR buat pendirian berhubung status PRU15 dan banjir

Zaliha gesa SPR buat pendirian berhubung status PRU15 dan banjir

SEKIJANG: Calon PH Sekijang, Dr Zaliha Mustafa menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membuat pendirian berhubung status Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan banjir yang akan berlaku.

Zaliha berkata, hujan berterusan sejak beberapa hari kebelakangan ini khususnya di Sekijang telah menimbulkan keresahan kepada penduduk setempat khususnya di kawasan rendah seperti Pogoh, Pemanis, Paya Besar dan beberapa kawasan lain.

Menurutnya, tinjauan beliau di kawasan-kawasan itu menunjukkan bahawa kemungkinan bencana banjir besar berlaku itu ada dan beliau juga dimaklum bahawa cuti kepada agensi-agensi penyelamat banjir akan mula dibekukan sejak 1 November ini.

“Hal ini juga menimbulkan rasa gusar saya tentang persediaan agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan persediaan banjir seperti Pejabat Daerah, JPAM, Jabatan Perparitan dan Saliran, Pejabat Kesihatan, JKM dan banyak lagi.

“Mereka juga pada masa yang sama telah disibukkan dengan persiapan berdepan dengan pilihan raya.

“Kita meminta supaya Suruhanjaya Pilihanraya Pusat (SPR) membuat pendirian tentang status pilihanraya ini jika benar berlaku banjir besar dalam tempoh kempen dan khususnya jika hal itu berlaku pada hari pembuangan undi iaitu pada 19hb November ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, beliau yakin, bagi mereka khususnya penjawat-penjawat awam daripada agensi terlibat akan terbeban dengan tugasan kerja yang bertambah.

Katanya, mereka sepatutnya boleh memberikan tumpuan dan dapat melakukan pengagihan kerja yang efektif serta berkesan dalam kedua-dua situasi ini.

Author

Pilihan Editor