HomeGaya HidupRai diri sendiri cara bersyukur kepada Tuhan - Penghidap kanser

Rai diri sendiri cara bersyukur kepada Tuhan – Penghidap kanser

SETIAWANGSA: “Menikmati dan meraikan diri sendiri dalam setiap fasa kehidupan adalah cara bersyukur kepada Tuhan Yang Esa,” luah Roslilawati Samsudin, 45, penghidap kanser (cancer survivor) yang berjaya tiba di kaki Gunung Everest.

Meskipun masih mengambil ubat, ibu tunggal anak tiga itu tidak pernah patah semangat sebaliknya mahu memberi inspirasi kepada wanita di luar sana supaya terus kekal bersikap dan berfikir positif demi kebaikan diri dan orang sekeliling.

Tambah wanita kental itu, beliau tidak menganggap sakit sebagai halangan untuk melakukan sesuatu yang beliau mahukan dalam hidup.

“Jangan fokus kepada negatif, jangan letakkan batasan kepada apa yang dimahukan. Tukarkan cabaran dan ujian kepada perkara positif, pasti hasilnya positif juga.

“Hidup ini mudah, jangan beratkan dengan perkara yang kita tidak boleh kawal seperti apa yang akan berlaku esok, yang penting apa tindakan kita pada hari ini, sekarang ini,” katanya.

Roslilawati ketika ditemui pemberita masih dalam keadaan terkejut, kerana kepulangannya disambut ceria oleh warga Persatuan Penghuni Menara Cenderawasih yang berbangga dengan pencapaiannya, di sini, tengah malam tadi.

Bapa Roslilawati, Samsudin Zakaria, 77 dan ibunya, Esah Mohamad, 73, turut bersengkang mata menyambut ketibaan anak perempuan mereka.

Sementara itu, ketika menceritakan semula perancangan sebelum ke sana, Roslila terserempak dengan beberapa pengembara (trekker) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang kebetulan ketika itu mahu melakukan aktiviti sama.

“Ketika saya merancang untuk mendaki gunung, sebenarnya saya pergi ke sana seorang diri namun bertemu beberapa rakan baharu di pada hari berlepas di ‘airport’ (KLIA) yang mahu melakukan perkara sama.

“Jadi, kami memutuskan untuk meneruskan misi ke sana,” katanya.

Roslilawati berjaya tiba pada tahap ketinggian senarai pendakian wajib trekker tegar, di Everest Base Camp (EBC) 5360 meter (m) dari aras laut, yang digelar sebagai ‘tangga ke syurga’.

Ibarat hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri yang membawa maksud walaupun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

Roslilawati berkata, pengalamannya ke pergunungan itu menambahkan lagi rasa syukur sebagai anak kelahiran Malaysia kerana kelebihan negara sendiri beriklim panas dan sejuk.

“Walaupun pemandangan di Nepal salah satu perkara indah di sana, namun saya lihat sudut kemanusiaan benar-benar menyentuh hati saya.

“Bila di atas gunung, sangat sejuk. Jadi, betapa rahmatnya apabila datang dari Malaysia, rasa bersyukur Malaysia ada musim panas, makan pun sedap,” kata Pengurus Teknologi Maklumat (IT) itu.

Roslilawati berkata, segala kos perjalanan beliau ke EBC sepanjang hampir dua minggu di sana, dan balik dibiayai sendiri.

Beliau juga berhasrat untuk menawan puncak tertinggi di dunia, setinggi 8,848m pada pendakian kedua, pada masa akan datang.

Dengan hebahan yang dilakukan, sekiranya beliau berhasrat untuk menawan puncak Everest akan memudahkan beliau mendapatkan penajaan untuk cabaran tersebut.

Author

Pilihan Editor