HomeBeritaPolitikBersatu hantar notis kosongkan 4 kerusi di Sabah

Bersatu hantar notis kosongkan 4 kerusi di Sabah

CYBERJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat untuk memastikan bekas empat ahli Parlimen Sabah dari Bersatu yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di bawah logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengosongkan kerusi mereka.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, notis yang dikeluarkan menerusi surat bertarikh 3 November 2022 itu juga telah disahkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di mana keempat-empat ahli Dewan Rakyat tersebut adalah antara calon yang akan bertanding pada PRU-15 sebagai anggota Bersatu.

“Kenyataan pengerusi GRS yang juga pengerusi Bersatu Sabah pada waktu tersebut iaitu Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor pada 2 November 2022 turut mengumumkan bahawa terdapat 6 calon daripada parti Bersatu akan mewakili GRS untuk bertanding dalam PRU15.

“Walau bagaimanapun, pada 10 Disember 2022, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor telah membuat satu kenyataan media yang menyatakan bahawa kesemua pemimpin parti Bersatu Sabah telah keluar dari parti Bersatu.

“Keempat-empat ahli Dewan Rakyat tersebut adalah Datuk Armizan Mohd. Ali (P.175 Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (P.185 Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (P.179 Ranau) dan Datuk Matbali bin Musah (P.178 Sipitang),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, keempat-empat Ahli Dewan Rakyat tersebut telah berada di blok kerajaan pada sidang Dewan Rakyat yang berlangsung 19 Disember lalu.

“Tindakan menyertai dan duduk di blok yang tidak menyokong parti Bersatu yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Presiden Bersatu dan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang adalah ‘crossing the floor’ dan ia melanggar janji pilihan raya mereka kepada para pengundi.

“Akibat daripada itu, keahlian mereka sebagai anggota parti Bersatu telah gugur mengikut perlembagaan parti Bersatu dan perkara ini telah dimaklumkan melalui surat Bersatu bertarikh 21 Disember 2022.

“Justeru, menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan,” katanya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Beluran itu turut berharap Yang di-Pertua Dewan Rakyat dapat melanjutkan perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari dari tarikh penerimaan notis bertulis supaya proses pilihan raya dapat diatur bagi mengisi kekosongan tersebut.

Author

Pilihan Editor