HomeBeritaPolitikAnnuar Musa sahkan dipanggil SPRM

Annuar Musa sahkan dipanggil SPRM

CYBERJAYA: Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan beliau telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan minggu lalu.

Menurutnya, SPRM meminta beliau memberi keterangan berhubung dakwaan menerima wang jutaan ringgit daripada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya sudah memberi kenyataan kepada SPRM minggu lepas. Saya sebenarnya sangat lega kerana sekali lagi fitnah yang di luar tidak dapat dikawal.

“Kata (dakwa) saya masuk bilik tidur (Muhyiddin) duit berlonggok, ambil duit juta-juta bawa duit pergi ke mana. Patutlah kuat sokong Muhyiddin sebab Muhyiddin bagi lebih.

“Buka Facebook masyaallah beristighfar saya. Jadi bila SPRM panggil untuk beri keterangan saya sangat suka hati dan saya telah beritahu semua jalan ceritanya.

“Saya ucap terima kasih dan saya akan terus beri kerjasama. Itu tanggungjawab saya,” katanya pada sidang media di pejabat Muafakat Nasional (MN), hari ini.

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu turut menegaskan beliau tidak akan merayu kepada UMNO berhubung pemecatan keahliannya dalam parti itu.

Jelasnya, tiada sebab untuk dirinya terus merayu akan isu berkenaan kerana beliau tidak tahu apakah kesalahan yang telah dilakukan sehingga menyebabkan pemecatannya berlaku.

Malahan, beliau turut menyatakan bahawa  sehingga hari ini masih tidak diketahui punca pertuduhan termasuk tidak dipanggil dan ditanya sama ada dalam bentuk lisan mahupun bertulis oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Tahu-tahu surat sekeping pecat. Jadi saya nak rayu apa?

“Yang saya dapat rumuskan mereka tidak memerlukan saya. Tiada saya seorang, UMNO masih hidup,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor