HomeBeritaAnthony Loke 'undercover' lagi, tinjau keadaan dan perkhidmatan di TBS

Anthony Loke ‘undercover’ lagi, tinjau keadaan dan perkhidmatan di TBS

CYBERJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sekali lagi membuat tinjauan perkhidmatan pengangkutan awam dengan samaran sebagai orang awam di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada Khamis petang.

Ahli Parlimen Seremban itu berkongsikan tinjauan beliau bersama dua orang pembantunya terhadap perkhidmatan KTM Komuter dan keadaan di TBS itu menerusi hantaran di Facebooknya.

Menurutnya, beliau akan berjumpa dengan pihak pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam masa terdekat bagi membincangkan penyelesaian masalah pengangkutan awam tersebut.

“Saya menerima banyak maklum balas daripada media sosial berkenaan perkhidmatan Komuter dan masalah mencetak Pas Masuk Bas di TBS.

“Saya akan berjumpa dengan pihak pengurusan KTMB dalam masa terdekat untuk membincangkan cara untuk menambah baik dan menambah kekerapan perkhidmatan komuter,” katanya.

Tambahnya, beliau juga faham kekangan operasi yang dihadapi KTMB itu adalah berkait dengan Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT).

“Saya faham bahawa KTMB menghadapi pelbagai kekangan operasi yang disebabkan oleh projek menaik taraf landasan KVDT1 yang masih belum siap dan KVDT2 yang tergendala.

“Saya juga akan berjumpa dengan pihak pengurusan TBS untuk membincangkan kesiapsiagaan untuk menguruskan jumlah penumpang yang ramai pada hujung minggu dan musim perayaan,” katanya lagi.

Untuk rekod, sebelum ini, beliau membuat tinjauan mengejut terhadap keadaan sebenar ‘perkhidmatan transit aliran ringan’ (LRT) bagi laluan Kelana Jaya dengan samaran pada 5 Disember lalu iaitu sehari selepas mengangkat sumpah jawatannya.

 

Author

Pilihan Editor