HomeHiburanAnugerah Telenovela kali ke-8 tampil berbeza tahun depan

Anugerah Telenovela kali ke-8 tampil berbeza tahun depan

KUALA LUMPUR: Kalendar tahunan anugerah seni kreatif negara tidak lengkap tanpa Anugerah Telenovela.

Justeru, anugerah berprestij membabitkan himpunan ratusan drama terbaik adaptasi karya novel tempatan julung kalinya,  kembali menemui orang ramai selepas dua tahun tertangguh akibat pandemik COVID-19.

Penganjuran Anugerah Telenovela Edisi Ke-8 adalah acara kemuncak Festival Industri Kreatif Kebangsaan dan Ekspo Buku dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada 1 hingga 5 Februari 2023.

Ia juga diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), Hasan Hamzah berkata, penganjuran kali ini diadakan secara besar-besaran kerana menggabungkan warga kerja industri kreatif negara termasuk bakat yang terhasil daripada aliran algoritma media sosial.

Katanya, Anugerah Telenovela adalah pengiktirafan kepada penulis, penerbit dan warga kerja industri kreatif yang berjaya menterjemah kandungan buku terutama novel kepada layar perak atau diterbitkan dalam bentuk audio dan visual.

“Kali ini lebih unik kerana kita menghimpunkan sasterawan, penerbit filem, drama, program stesen televisyen (TV), termasuk Netflix dan dalam talian.

“Sekarang kita di zaman multimedia (media pelbagai medium), bukan hanya pembabitan TV kerajaan sahaja, tetapi daripada pasaran secara Youtube sebagai contoh,” katanya pada sidang media pengumuman Anugerah Telenovela Festival – Book2Screen, di WTC, di sini.

Yang turut hadir, barisan jawatankuasa penganjur, seniwati Fauziah@Ogy Ahmad Daud dan Datin Norma Norell.

Pada festival berkenaan, selain Anugerah Buku Telenovela, turut diadakan persidangan dan forum Industri Kreatif Kebangsaan, sesi townhall isu semasa industri kreatif tanah air, sumbangsih artis legenda Showmasters-Boxoffice, Ali Bakar dan Aziz Bakar.

Selain itu, pelancaran buku dan pengarahan dokumentari Embon ala Oshin yang mengisahkan keluarga Ali Bakar dan Aziz Bakar, serta tidak lupa barisan artis tanah air.

Kali terakhir dianjurkan pada 2019, Anugerah Telenovela edisi kali ini menghimpunkan 106 calon karya adaptasi novel bagi tempoh tiga tahun berturut-turut mulai 2020.

Mempertandingkan trofi bagi 30 kategori termasuk Pasangan Serasi Popular, Telenovela Popular, Novel Popular dan Ste­sen Televisyen Terbaik.

Author

Pilihan Editor