HomeGaya HidupKarnival Geng Masjid tumpu tarik orang ramai ke masjid

Karnival Geng Masjid tumpu tarik orang ramai ke masjid

KLANG: Karnival Geng Masjid yang berlangsung selama tiga hari di Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang diadakan sebagai inisiatif mengimarahkan lagi masjid dengan orang ramai.

Karnival anjuran Kru Geng Masjid (KGM) itu diadakan dengan kerjasama pihak masjid, Tazkirah Malam Jumaat (TMJ), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Penerangan Negara (JPN) dan Astro Oasis.

Pengarah Teknikal KGM, Muhammad Syaifuddin Mawardi berkata kepada MEDIA VARIASI, pihaknya sudah membuat program seperti ini di lebih 100 masjid sepanjang tujuh tahun ini.

Menurutnya, pihaknya berperanan untuk memudahkan lagi urusan pihak masjid merancang dan mengadakan program mengimarahkan masjid seperti ini.

Muhammad Syaifuddin Mawardi

“Pihak masjid akan panggil kami dan gunakan khidmat kami. Jadi, kami akan membuat program tersebut dari awal sehingga akhirnya.

“Harapan kita nak biarkan orang datang untuk mengimarahkan masjid.

“Sebab selalu kita tengok masjid besar kalau tak ada program orang tak datang. Orang cuma singgah sahaja, kalau bukan kerana solat Jumaat mungkin kerana solat raya,” katanya.

Kata Syaifuddin, dengan adanya aktiviti berlangsung di masjid itu, orang ramai akan datang ke masjid untuk menyertainya.

“Kecil besar karnival itu bukan satu tanda kita berjaya, itu lebih kepada perancangan kita, cuma kita nak biar orang ramai di masjid.

“Apabila karnival itu kecil tetapi orang ramai, itu pun sudah menjadi satu kejayaan.

“Sasaran kita pun bukan sekadar orang Islam sahaja, kita pun mahu yang bukan Islam untuk datang ke karnival ini, sebab itu kita adakan pelbagai aktiviti macam sukan, mereka nak dengar ceramah pun boleh,” katanya lagi.

Karnival Geng Masjid di Masjid Jamek Ar-Rahimiah Klang.

Karnival Geng Masjid di Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang ini akan berlangsung dari Jumaat hingga Ahad ini dengan pelbagai aktiviti.

Antaranya ialah Santai Duha bersama dengan PU Rahmat dan Man Raja Lawak; Pertandingan Azan dan Hafazan; Pertandingan Mewarna, Pakaian Kerjaya; Meet and Greet Maskot Omar dan Hana serta Spiderman; Forum Santai bersama dengan Ustaz Tiga Beradik, Atu Zero dan Hijaz; dan bermacam lagi aktiviti.

Kru teknikal program sedang memastikan penyediaan teknikal program berjalan lancar.
Antara gerai yang didirikan di pekarangan Masjid Jamek Ar-Rahimiah Klang sempena karnival ini.

Author

Pilihan Editor