HomePendidikanKebajikan guru, kemiskinan multidimensi murid antara fokus utama KPM

Kebajikan guru, kemiskinan multidimensi murid antara fokus utama KPM

PUTRAJAYA: Isu kebajikan guru dan kemiskinan multidimensi murid adalah antara yang menjadi tumpuan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Perkara tersebut merupakan dua daripada tujuh teras utama yang akan diberikan tumpuan sebagai inisiatif membantu warga pendidikan yang sedang menghadapi cabaran semasa ekonomi negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan tujuh teras utama tersebut dalam Sidang Media Khas KPM yang diadakan di Bangunan KPM pada Khamis.

Fadhlina berkata, teras yang ketiga tumpuan utama KPM ialah memberi perhatian kepada isu kemiskinan multidimensi murid, khususnya daripada keluarga B40.

“Kemiskinan multidimensi ini kita harus tanggapi dengan serius kerana kanak-kanak kita sedang berdepan dengan kemiskinan yang pelbagai.

“Ia tidak tertumpu kepada kemiskinan kewangan sahaja, tetapi juga terdiri daripada kemiskinan yang mencakupi malnutrisi, kemiskinan peranti, kemiskinan ruang pembelajaran dan pelbagai lagi jenis kemiskinan. Sebab itu kita sebut sebagai kemiskinan multidimensi.

“Saya juga akan bekerjasama rapat dengan kementerian yang berkaitan dalam memastikan isu kemiskinan keluarga yang memberi impak langsung kepada pendidikan anak-anak dapat dibantu dengan wajar,” katanya.

Memberi fokus kepada kebajikan guru pula merupakan teras yang kelima di mana pentingnya perkara itu kerana guru adalah teras utama keberkesanan penyampaian pendidikan, kata Fadhlina.

“Oleh itu saya akan memastikan mereka diberi sokongan profesional berterusan yang sewajarnya dan memberi tumpuan kepada kebajikan guru termasuk tekanan yang dihadapi guru disebabkan beban tugas dan berjauhan daripada pasangan,” jelasnya.

Antara yang menjadi tujuh teras utama tersebut ialah menjadikan komunikasi antara KPM dengan sekolah lebih cekap dan telus bagi mengurangkan kesenjangan birokrasi dalam urusan guru dan murid, di mana aduan, cadangan, pertanyaan boleh dikemukan terus melalui pelbagai saluran rasmi yang disediakan KPM.

Yang kedua ialah memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan juga integriti yang dapat mewujudkan suasana harmoni dan akan menghindari gejala negatif seperti gangguan seksual di sekolah, buli, gangsterisme, vandalisme, ekstremisme dan juga perkauman.

Seterusnya ialah memberi perhatian kepada isu keciciran pendidikan yang disebut sebagai ‘the lost generation’, serta masalah literasi dan numerasi, supaya kesenjangan pendidikan yang wujud dapat dirapatkan

Selain itu, ialah memberikan tumpuan kepada usaha-usaha untuk mengubah suai dan menaik taraf sekolah-sekolah yang mempunyai bangunan daif terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Akhir sekali ialah meningkatkan keupayaan digital di sekolah dengan KPM akan membuat sesi libat urus bersama dengan agensi pusat bagi meningkatkan keupayaan pendidikan digital di semua institusi pendidikan di bawah kementerian itu.

Author

Pilihan Editor