HomeBeritaPM Anwar beri peringatan kepada Takiyuddin, Muhyiddin

PM Anwar beri peringatan kepada Takiyuddin, Muhyiddin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan supaya tidak gopoh mengeluarkan kenyataan penafian berhubung dana perjudian.

Anwar berkata demikian mengulas kenyataan Takiyuddin yang kesal dengan tuduhan berunsur fitnah yang dikeluarkan beliau yang membayangkan kononnya dana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Perikatan Nasional (PN) datang dari syarikat judi.

“Saya nak nasihat Takiyuddin, jangan gopoh. Saya sekarang di Kementerian Kewangan dan ada dokumen bersama saya,” kata Anwar yang memulakan tugas sebagai Menteri Kewangan pada Selasa, dalam sidang media di Kementerian Kewangan, lapor portal MalaysiaGazette.

Sementara itu, Anwar turut memberi peringatan kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya jangan mencabar beliau berhubung siasatan penyelewengan dana RM600 bilion.

Anwar menyifatkan kenyataan Muhyiddin bahawa wang itu adalah daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bank adalah sesuatu yang sudah terlambat.

“Saya nak beri peringatan kepada Muhyiddin jangan cabar kerana memang ternyata ada beberapa proses dan prosedur yang tidak dipatuhi dan beberapa syarikat berkepentingan atau terkait dengan keluarga juga terlibat.

“Bukan maksud saya, tetapi saya nak tumpu perhatian untuk mengurus negara ini memacu pertumbuhan ekonomi dan memberikan kebajikan kepada rakyat.

“Tetapi sebaik dicabar, kita terpaksa melihat (perbelanjaan dana RM600 bilion), kalau boleh hentikan seperti mana RM7 bilion ini (projek tebatan banjir) boleh dihentikan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Muhyiddin menegaskan pada Isnin bahawa beliau tidak takut disiasat berhubung laporan polis dibuat beberapa pihak mendakwa beliau menyeleweng dana RM600 bilion.

Jelas Muhyiddin, beliau tidak mungkin boleh menyeleweng dana tersebut kerana wang itu ialah wang individu dalam KWSP serta bank yang bukan di bawah kawalannya.

Author

Pilihan Editor