HomeHiburanReen Rahim sembunyi identiti tunang, bimbang penyakit 'ain'

Reen Rahim sembunyi identiti tunang, bimbang penyakit ‘ain’

KUALA LUMPUR: Pelakon Reen Rahim, 34, mengumumkan bakal menamatkan zaman bujang dengan jejaka pilihan hati yang dikenali MR H namun enggan dedahkan identitinya kerana bimbang penyakit ‘ain’ atau cemburu.

Reen juga tidak berkongsi tarikh rasmi kerana mahu menjaga privasi tetapi memaklumkan majlis akan diadakan di sebuah restoran di Putrajaya.

“Ya saya bakal menamatkan zaman bujang pada hujung tahun ini. Dia seorang ahli perniagaan dan juga penggiat seni. Kami sudah berkawan hampir dua tahun dan dia enam tahun lebih muda daripada saya.

“Pada mulanya kami berdua tidak berhasrat untuk berkahwin kerana tidak mahu terikat dengan sebarang komitmen, tapi pada masa sama kami saling menyukai antara satu sama lain.

“Tak tahulah apa agaknya doa keluarga, akhirnya kami berdua terbuka hati untuk menghalalkan ikatan dan berjanji untuk saling menjaga hingga ke akhir hayat,” katanya.

Berkongsi perjalanan hari bahagianya itu, Reen meluahkan rasa syukur kerana mendapat penajaan sejumlah RM15 juta dalam pelbagai bentuk untuk penganjuran tiga majlis.

“Kalau boleh saya nak buat satu majlis saja, tapi memandangkan ada pihak yang sudi menaja kami memutuskan untuk menganjurkan tiga majlis iaitu malam berinai, akad nikah dan resepsi.

“Kesemua majlis ini akan diuruskan oleh sahabat-sahabat saya kerana mereka tidak mahu menyusahkan saya. Mereka hanya mahu saya gembira pada majlis itu nanti,” katanya.

Terdahulu Reen melangsungkan majlis pertunangan dengan jejaka berusia 28 tahun itu pada Ogos lalu, namun bertindak untuk merahsiakannya atas permintaan keluarga.

Author

Pilihan Editor