KOTA TINGGI: Tujuh sekeluarga terpaksa menggunakan besen bagi mengangkut anak kecil mereka selepas rumah yang didiami di Kampung Baru Sungai Mas, di sini dinaiki air, semalam.
Noorizam Punijan, 52, berkata, dia dan ahli keluarga mula berjaga-jaga apabila hujan lebat sejak awal pagi, memandangkan rumah mereka terletak berdekatan Sungai Mas.
Dia bersama tiga anak, menantu perempuan dan dua cucu berusia dua tahun serta sembilan bulan, berpindah ke rumah adiknya yang terletak berdekatan dan di kawasan lebih tinggi pada 6 pagi selepas paras air mulai tinggi.
“Pada pukul 7 pagi, pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) datang dan beritahu kami perlu berpindah memandangkan air sudah berada di paras pinggang.
“Kami terpaksa letak anak kecil dalam besen kerana mereka takut dan cuma hendak dengan ibu mereka, sebelum beberapa anggota APM pegang sambil kami mengharung air,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Baru Sungai Mas, di sini hari ini.
Meskipun menjadi mangsa banjir, suri rumah itu turut mengambil alih tugas ketua kampung yang sedang menjalankan ibadah umrah, untuk membuka PPS itu sebagai penyelia.
“Kami ada mohon rumah transit untuk mangsa banjir, insya-Allah kalau ada rezeki dan kelulusan daripada kerajaan negeri, kami akan dapat,” katanya.
Sementara itu, tukang kebun Muhammad Ehsan Mashood, 63, berkata, pengalaman berhadapan banjir besar yang melanda daerah itu pada 2006, membuatkan dia dan keluarganya lebih bersedia.
“Pernah berlaku banjir besar sehingga kita nak keluar tak boleh. Bomba yang datang untuk menyelamat terpaksa ikat tali antara tiang-tiang lampu sebab air terlampau laju, kalau kita tak pegang tali memang hanyut,” katanya.
Menurutnya pada kejadian banjir semalam, dia sempat mengemas barangan penting sebelum bersama isteri, anak-anak dan cucu berpindah ke PPS.
Tinjauan Bernama di kampung berkenaan mendapati air semakin surut dan penduduk sudah mula kembali ke kediaman masing-masing untuk membersihkan kawasan rumah. – BERNAMA