HomeBeritaAspek bahasa Melayu wajar dikemas kini sebelum beri kerakyatan - Saifuddin Nasution

Aspek bahasa Melayu wajar dikemas kini sebelum beri kerakyatan – Saifuddin Nasution

PUTRAJAYA: Proses permohonan taraf kewarganegaraan wajar dikemas kini dalam aspek komunikasi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Perlembagaan Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh menambah baik aspek berkenaan kerana ia perkara yang sememangnya diberi perhatian serius agensi.

“Saya percaya, aspek itu perlu dikemas kini. Tentulah tidak munasabah kalau kita lulus warganegara sampai tidak boleh langsung berbahasa Melayu.

“Umumnya, aspek itu diberi perhatian serius oleh jabatan (JPN), dalam proses kita angkat mereka yang membuat permohonan warganegara mengikut syarat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke JPN, di sini, hari ini.

Terdahulu, Saifuddin menyampaikan surat kelulusan kepada seramai 28 pemohon warganegara.

Ketika menemu bual beberapa penerima, ada yang tidak mampu bertutur bahasa Melayu dengan baik tetapi memahaminya, ada juga yang memerlukan pihak ketiga untuk membantu menterjemah bahasa.

Sementara itu, beliau juga meminta jika terdapat rekod statistik warganegara yang tidak fasih berbahasa Melayu, bagaimanapun dipercayai tiada yang ada maklumat itu.

“Penguasaan bahasa ini ada modulnya, dan modul itu sampai tahap mana yang kita anggap munasabah untuk wajar kita berikan kelulusan warganegara,” katanya.

Mengikut syarat permohonan kewarganegaraan mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan berumur 21 tahun atau lebih, antaranya pemohon mempunyai pengetahuan Bahasa Melayu yang memadai selain berkelakuan baik dan beberapa syarat lain.

Yang Dipertua, Gabungan Ikhtisas Dan Usahawan Bumiputra Anak Selangor (GIBS) Dr Muhammad Arif Mohd Hashim, pada 2017, dilaporkan berkata, setiap warganegara Malaysia yang menetap dan mengaku dirinya rakyat Malaysia mesti menguasai dan boleh berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Melayu.

“Seseorang yang mengaku dirinya warga Malaysia mesti secara ikhlas dan jujur menyanjung tinggi penghormatan sebagai seorang rakyat Malaysia kerana di sinilah bumi dipijak. Jangan kerana segelintir permintaan dan tuntutan, maka kita korbankan bahasa,” katanya.

Beliau dilaporkan berkata, Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan walau bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam.

Sekiranya mereka tidak mahir berkomunikasi dalam bahasa Melayu, masalah komunikasi dalam pelbagai aspek secara efektif mulai daripada peringkat bawah hingga atas, akan terganggu dan memberi impak merugikan secara berpanjangan kepada rakyat dan negara.

Raja-Raja Melayu sejak Mesyuarat Durbar pada 1903 membangkitkan soal pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Ketika menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957, Raja-Raja Melayu menetapkan tujuh wasiat, satu daripadanya menyentuh berkaitan bahasa iaitu ‘Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu’.

Author

Pilihan Editor