HomeBeritaViralBayi datang haid? Pelik tapi benar

Bayi datang haid? Pelik tapi benar

KUALA LUMPUR: Bayi datang haid? Kedengaran agak janggal, dan wanita terutama golongan ibu pasti agak panik jika berhadapan dengan fenomena itu tetapi itulah realiti yang berlaku.

Lebih unik lagi, ia sebenarnya adalah perkara normal dan istilah ini dipanggil Neonatal Uterine Bleeding (NUB).

Mungkin kita tidak pernah mendengar berita mengenai fenomena ini kerana tiada siapa pernah menguar-uarkan tentangnya kerana ia jarang berlaku.

Namun seorang wanita berkongsi kisah unik bayi perempuannya, di TikTok menggunakan nama akaun aqilahafandi95, mendedahkan hanya mengetahui perkara itu selepas bergelar ibu kepada seorang bayi perempuan.

Membalas soalan netizen yang meninggalkan komen, “sepanjang jadi mummy, apa yang you baru tahu sepanjang jadi mummy” di hantaran TikToknya, ibu kepada Sophea Eileea Abdullah Eiffwat itu berasa terkejut selepas melihat keadaan berlaku kepada permata hatinya yang dilahirkan pada Oktober 2022.

“Terkejut betul Sophea time newborn period, refer dekat pakar baby girl mostly akan period 1-10 hari paling lama,” tulisnya di hantaran yang hampir mencecah 640,000 tontonan di akaunnya.

Wanita itu memaklumkan, bayinya mengalami ‘haid’ selama 10 hari, malah mendakwa jururawat pada awalnya menegurnya kerana mencuci bahagian sulit bayi terlalu ganas sebelum mengetahui sebenarnya mengalami keadaan unik itu.

Dia juga turut menyarankan kepada ibu yang mengalami bayi berdarah seperti itu untuk segera mendapatkan nasihat doktor kerana tidak semua bayi mengalaminya.

Warganet juga memberikan pelbagai reaksi antaranya terkejut dan tertanya-tanya jika bayi haid awal adalah dikira sebagai akil baligh.

Ada yang anak perempuan sudah masuk yang ketiga namun hanya tahu perkara itu selepas yang ketiga itu mengalaminya ketika usia bayi.

Kebanyakan wanita terutama yang bergelar ibu tidak mengetahuinya sehingga wanita itu berkongsi di TikTok, dan ada yang memaklumkan doktor mengesahkan ia adalah normal dan mengikut hormon ibu.

Dipercayai, haid bayi berbentuk lebih kepada cairan darah lendir atau tompok darah seperti ‘spotting’.

Selepas ini, bolehkan berkongsi ilmu baharu ini kepada wanita tidak kira yang masih bujang atau sudah berkahwin dan mempunyai anak perempuan.

Ini meningkatkan tahap kesedaran tentang penjagaan bayi khususnya perempuan pada masa akan datang.

Author

Pilihan Editor