HomeHiburan'Coast Guard Malaysia: Ops Helang' tonjol budaya sebenar APMM

‘Coast Guard Malaysia: Ops Helang’ tonjol budaya sebenar APMM

SHAH ALAM: Filem ‘Coast Guard Malaysia: Ops Helang’ yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 2 Februari ini menonjolkan budaya sebenar dalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Ketua Pengarah APMM, Laksamana (M) Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, meskipun jalan cerita filem itu fiksyen, namun dari segi budaya kerjanya adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sebenar.

Filem yang dibintangi pelakon, Saharul Ridzwan dan Julia Farhana sebagai watak utamanya itu, mendapat kerjasama penuh daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta APMM.

“Kalau tengok skrip dia, skrip Saharul bercakap, Julia bercakap di kapal, macam mana dia bercakap, itu adalah budaya dalam APMM.

“Dan terma-terma yang dipakai, kalau dilihat dia sebut terma-terma yang ada dalam APMM dan dia punya lenggok bercakap itu pun lenggok bercakap APMM.

“Kerana budaya yang ada dalam APMM ini kita bawa daripada budaya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Saya dulu bekas TLDM, saya sudah lebih kurang 25 tahun dalam TLDM sebelum ditukar lantik ke dalam APMM.

“Jadi, secara asasnya, APMM ditubuhkan dengan membawa sebahagian besar tradisi TLDM dengan harapan budaya serta pengetahuan dalam TLDM ini dibawa ke dalam APMM supaya kita dapat mengoperasikan aset dengan segera,” kata Mohd Zubil.

Beliau berkata demikian dalam sidang media majlis pelancaran lagu tema filem ‘Coast Guard Malaysia: Ops Helang’ berjudul ‘Yes Sir’ di Stesen Udara Maritim Subang pada Selasa.

“Dengan pengalaman-pengalaman yang ada daripada sebahagian besar pegawai-pegawai daripada TLDM ditukar lantik ke dalam APMM, jadi kita bangunkan APMM mengikut budaya para militari.

“Sebenarnya APMM ini penguat kuasa para militari sebab itu kita tidak ada isu, kita boleh membawa senjata, di kapal kita ada meriam dan senjata yang agensi lain tidak ada.

“Jadi apa yang boleh saya cakapkan, SOP macam Julia, dia bercakap dengan bertugas sebagai pegawai penyiasat, dia kena patuh SOP, SOP-nya betul dan tidak dibuat-buat, kita cuma nak tonjolkan SOP yang ada dalam APMM,” jelasnya lagi.

Filem terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production itu memaparkan kisah Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) daripada APMM yang terpaksa berhadapan sekumpulan penjenayah di perairan negara apabila ahli keluarganya menjadi tebusan.

Filem yang memakan kos perbelanjaan berjumlah sekitar RM15 juta itu turut memaparkan kemampuan dan aset yang dimiliki APMM.

Author

Pilihan Editor