HomeHiburanFokus kesihatan mental sejak bergelar ibu tunggal - Shila Amzah

Fokus kesihatan mental sejak bergelar ibu tunggal – Shila Amzah

KUALA LUMPUR: Penyanyi Shila Amzah, menyifatkan kesihatan mental dirinya lebih utama sejak bergelar ibu tunggal kepada anak tunggal lelaki, Seth Uwais yang kini berusia empat tahun.

Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Amzah berkata, dia lebih mengutamakan kesihatan mental dirinya terlebih dahulu sebelum Seth Uwais.

Ini kerana, pelantun Patah Seribu itu percaya kebahagiaan anaknya bergantung kepada tahap kestabilan dan kebahagiaan dirinya.

“Saya tidak meletakkan Seth sebagai keutamaan. Sebab saya pasti masih berada dalam perkahwinan, sekiranya meletakkannya sebagai keutamaan.

“Saya percaya saya perlu bahagiakan diri saya terlebih dahulu sebelum membahagiakan anak. Saya tidak mahu serabut, balik dari kerja rasa tidak bermaya..,” katanya dipetik XTRA.

Anak sulung penyanyi era 80-an, ND Lala itu juga sempat menitipkan pesanan kepada ibu dan bapa tunggal di luar sana untuk membuat keputusan membahagiakan diri.

“Wanita boleh membuat keputusan sendiri, tidak kisah sama ada ada pasangan atau tidak. Sebagai wanita, kita perlu mampu menghadapi segala perkara dan bertahan seorang diri.

“Kepada ibu atau bapa tunggal, jangan malu serta takut. Kalau perkara tersebut membuatkan anda bahagia dan tidak menjejaskan emosi anak, teruskan,” sarannya.

Justeru, baginya, keputusan untuk meninggalkan perkahwinan dengan bekas suami, Haris Idraki sebelum ini adalah pilihan terbaik.

Dia juga menganggap perkara sebenar yang berlaku dalam sebuah perkahwinan hanya diketahui pasangan suami isteri.

“Satu perkara perlu diingatkan, perkahwinan hanya suami isteri sahaja yang tahu keadaan sebenar terjadi. Ibu bapa atau rakan baik pun mungkin tidak mengetahuinya.

“Saya tidak berpihak kepada sesiapa, tetapi segala komen yang dilemparkan membuatkan saya rasa sangat sedih. Sebabnya, mereka tidak tahu apa yang terjadi.

“Saya pula jenis yang sangat berterus-terang. Namun, dalam masa yang sama tetap risau kesan pada anak. Letakkan anak di tempat utama dalam diri kita,” katanya.

Author

Pilihan Editor