PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Jemaah Menteri dan warga perkhidmatan awam tidak mengamalkan budaya selesa sebaliknya bertekad untuk terus melaksanakan perubahan dalam pentadbiran negara.
Berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Januari 2023 di sini hari ini, Anwar berkata dalam apa-apa jua sistem, perlu ada keinginan dan hasrat untuk membawa perubahan
“Sudah mantap sistem yang bergerak puluhan tahun tapi harus ada kesediaan rendah diri untuk mengakui, ada kekuatannya tetapi bila kita letak tokoh baharu…harus ada hasrat bawa perubahan…tidak harus kita benar ada budaya selesa iaitu culture of contentment yang menggigit kita,” katanya.
Anwar berkata, sekiranya ada pendekatan mudah dalam pentadbiran negara, semua pihak akan bersatu dan bekerjasama untuk mengangkat semula bangsa dan negara.
“Paling penting bertekad yang negara ini harus stabil daripada politiknya, jelas hala tujunya dan kuat keinginan dan hasrat bawa perubahan untuk angkat semula martabat bangsa dan negara,” katanya.
Dengan beberapa langkah telah diumumkan untuk meningkatkan tahap kecekapan dalam menyelesaikan masalah, Anwar mahu segala tindakan dilaksanakan dengan telus.
“Baru-baru ini kita gesa satu tindakan lebih agresif bukan untuk ambil tindakan tetapi melepaskan masalah pekerja kerana pekerja asing dalam industri perladangan, pembuatan dan bidang-bidang tertentu sangat kurang.
“Ia menjejaskan kadar pertumbuhan negara kita, jadi saya lihat Jabatan Imigresen sambut baik dan apa jua tindakan harus ada transparensi ,” katanya yang turut berharap segala perubahan yang akan dilaksanakan di bawah Kerajaan Perpaduan akan mendapat sambutan hangat daripada semua jabatan.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. – BERNAMA