HomeMV+EksklusifKereta jadi 'tebusan', sindiket tarik kereta 'cekik' harga

Kereta jadi ‘tebusan’, sindiket tarik kereta ‘cekik’ harga

KUALA LUMPUR: Sebelum ini, tular isu tunda kereta di Pusat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) pada Ogos 2022, kerana dikatakan menunda kereta pengunjung termasuk milik pihak media tanpa sebarang notis.

Syarikat ‘towing’ berkenaan, malah lebih berani menunda kenderaan dengan saman RM100 walaupun tidak ada lesen tunda untuk menunda di lokasi berlangsung program, MAEPS, Serdang ketika itu, sehingga Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengarah untuk menghentikan operasi berkenaan serta-merta.

Sumber pernah mendedahkan syarikat tunda kenderaan menjana keuntungan sehingga 80 peratus setiap kereta.

Dalam kisah yang hampir sama, Jumaat lalu, seorang lelaki, mendakwa dia dipaksa untuk membayar RM5,500 untuk menebus kereta jenis Mazda miliknya selepas ditunda oleh satu ejen tarik kenderaan di kawasan Puchong, tanpa sebarang notis.

Ia berlaku selepas Najib Nazri, pemilik kenderaan terbabit terkejut selepas mendapati keretanya ‘hilang dicuri’, sebelum ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan.

Bagaimanapun, dia dimaklumkan, siasatan pihak polis bahawa keretanya bukan dicuri sebaliknya ditarik kerana ada tunggakan pembayaran.

“Kami kemudian ke bank, pihak bank kata tunggakan kereta RM2,220. Jadi, kami minta nombor telefon ejen tarik kenderaan daripada pihak bank.

“Kami hubungi ejen pertama, tapi tak dapat hubungi. Kami hubungi ejen kedua, Puan Suzaina mewakili sistem Ambank maklum, semua jumlah yang saya perlu bayar adalah RM5,500,” katanya kepada MEDIA VARIASI ketika ditemui di pusat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini.

Pengarah seni itu mempersoalkan kewajaran jumlah bayaran yang dikenakan pihak penarik kenderaan dengan harga melampau.

“Sudahlah kereta ditarik tanpa notis sama ada surat atau panggilan mesej.

“Sindiket tarik kereta datang ke rumah tanpa maklumkan apa-apa terus tarik ketika kami sekeluarga sedang tidur.

“Saya hutang dengan bank atas dasar tunggakan, tapi pihak ketiga kata tertunggak RM5,500. Tak masuk akal,” katanya.

Dia percaya, syarikat penarik kenderaan berkenaan berkomplot dengan pihak bank kerana merasakan ada yang tidak kena dengan proses mengambil semula keretanya.

“Jumlah bayaran untuk tebus kereta sendiri dilihat tak wajar. Jadi, yang mana saya perlu ikut. Kalau tak bayar, dua minggu lagi, syarikat tarik kenderaan akan lelong kereta saya pula kerana kononnya sudah ada pembeli menunggu.

“Bagi saya, ini adalah penganiayaan. Mengikut apa yang saya rasa, sindiket ini ada libatkan pihak ketiga dengan pihak dalaman bank. Jadi, sebab itu, saya terus ke PPIM untuk dedahkan ini,” katanya.

Beliau percaya wujud konspirasi antara bank dan pihak penarik kereta kerana tiada sebarang notis diberi sebelum tarik.

“Caj yang dikenakan sindiket tarik kereta adalah sesuka hati dan tiada kawalan, siapa boleh pantau mereka, ” katanya.

Author

Pilihan Editor