HomeBeritaSukar untuk kompaun pemilik lembu berkeliaran, lembu tiada nombor siri - MPSepang

Sukar untuk kompaun pemilik lembu berkeliaran, lembu tiada nombor siri – MPSepang

CYBERJAYA: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menjelaskan adalah di luar bidang kuasanya untuk mengambil tindakan ke atas pemilik lembu yang berkeliaran apabila berlaku kemalangan membabitkan lembu itu.

Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata demikian ketika mengulas kejadian tular baru-baru ini berkenaan lembu yang berkeliaran di sekitar Dengkil sehingga menyebabkan kemalangan dengan kereta.

Menurutnya, sebelum ini MPSepang pernah menangkap dan menyita tiga ekor lembu pada tahun 2022, dan tiga kompaun telah pun dikeluarkan kepada pemilik lembu tersebut.

“Cuma kadang-kadang kalau kita susah nak kenal pasti pemiliknya, apabila berlaku kemalangan dan lembu itu sudah mati, tidak ada yang nak mengaku itu lembu dia, cuma diakui apabila yang berada dalam kandang sahaja.

“Kalau lembu berkeliaran tanpa ada tuan di sekelilingnya, kita pun tidak tahu, sebab lembu atau kerbau yang ada dalam kawasan kita ini tidak di-tag dengan nombor sirinya.

“Kalau lembu import dari luar negara kita boleh lihat nombor sirinya di-tag di telinganya, kalau di Malaysia setakat ini tidak ada.

“Itu yang agak sukar pada kita untuk mengenakan tindakan kepada pemilik-pemilik ini, yang mana satu, kalau dia datang ambil lembu dia dan mengaku lembu kepunyaannya, kita akan denda dan kompaun untuk kos simpanan dan denda,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Terdahulu, Abd Hamid berkata, isu lembu di daerah Sepang ini bukan isu baharu, dan telah lama dibincangkan, serta enakmen undang-undang kecil penternakan lembu dan kerbau masih lagi terpakai di Daerah Sepang.

Mengulas lanjut, katanya, jika dilihat di daerah Sepang ini, masih terdapat banyak kawasan pertanian yang luas dan MPSepang tidak boleh untuk melupuskan penggunan enakmen tersebut.

“Jadi, kalau kita lihat berkaitan dengan isu lembu dan kerbau di daerah Sepang ini memang ada sedikit kekangan kepada Majlis.

“Sebenarnya kalau kita lihat, kita juga telah melaksanakan banci kandang-kandang lembu di dalam daerah Sepang ini, buat masa ini terdapat lebih daripada 70 kandang lembu yang ada.

“Jadi apabila kandang lembu ini sepatutnya menjadi tanggungjawab kepada pemilik lembu tersebut untuk mengawal ternakan mereka, lembu ini juga sebenarnya ada di dalam kawasan Cyberjaya dan kadang-kadang terlepas masuk ke dalam Cyberjaya,” jelasnya.

Setakat ini, MPSepang telah mengadakan perbincangan dengan pihak jabatan veterinar untuk sama-sama mengambil tindakan bagi pemantauan atau pun tindakan ke atas mereka yang membiarkan lembu dan kerbau mereka bebas dalam kawasan awam.

“Di sini kita lihat ada dua senario, pertama sekali kalau masuk dalam kawasan bandar atau pun kawasan perumahan, ini mungkin menjadi tanggungjawab majlis untuk bersama dengan pihak jabatan veterinar.

“Cuma apabila lembu dan kerbau ini berada di dalam kawasan kampung, pihak-pihak yang boleh mengambil tindakan itu adalah daripada pejabat veterinar atau pun haiwan, atau pun daripada pihak pejabat daerah,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor