HomeBeritaOpenDOSM kongsi 28 juta harga barangan sebagai langkah bantu rakyat

OpenDOSM kongsi 28 juta harga barangan sebagai langkah bantu rakyat

PUTRAJAYA: Sebanyak 28 juta harga barangan telah dikongsikan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi platform data terbuka dipanggil OpenDOSM Next Gen atau https://open.dosm.gov.my.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini merupakan salah satu usaha kementeriannya membantu rakyat menangani isu kenaikan harga barang dalam negara.

Menurutnya, ini adalah supaya kadar inflasi Malaysia yang semakin mereda dapat diterjemahkan kepada harga barang yang dibayar oleh rakyat.

“Sebahagian daripada usaha kami di Kementerian Ekonomi ialah pertamanya melalui DOSM yang telah melancarkan OpenDOSM pada 12 Januari lalu iaitu platform data yang berkaitan dengan statistik rasmi yang diterbitkan oleh DOSM dan agensi-agensi kerajaan yang angka terbaru yang kami kongsikan dengan rakyat ialah 28 juta data harga barangan.

“Kita perlukan bantuan dan juga kerjasama daripada orang ramai dan pihak-pihak di luar sana untuk memastikan 28 juta data harga barangan ini mula digunakan oleh rakyat terbanyak untuk membantu kita sama-sama lebih peka kepada turun naik harga barang.

“Supaya bukan sahaja kerajaan memantau kenaikan harga barang secara makro tetapi usaha itu juga perlulah kita sama-sama tanggung untuk memastikan kalau ada penurunan atau pun kadar inflasi yang lebih menyederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Penerbitan Harga Indeks Harga Pengguna (IHP) di Menara Prisma pada Rabu.

Katanya lagi, satu hipotesis pentingnya ialah, jika perkara itu tidak diterjemahkan melalui usaha rakyat, segala usaha dan campur tangan kerajaan akan menunjukkan tidak ada perubahan

“Segala usaha dan campur tangan kerajaan yang melibatkan peruntukan yang banyak, berbilion ringgit setiap tahun untuk mengawal harga bahan mentah yang perlu dikawal atau pun yang terpaksa dikawal buat seketika.

“Sedang harga itu dikawal tetapi harga yang dibayar oleh rakyat itu tidak berubah, di sinilah masalahnya, kerana rakyat akan secara berterusan menyebut bahawa harga barang masih mahal kerana sebahagian besar daripada interaksi rakyat di negara kita dengan harga barang ialah harga barang akhir terutamanya yang melibatkan makanan dan minuman,” jelasnya.

Beliau berharap rakyat akan dapat terus dapat menghakimi dan membandingkan harga barang melalui data yang diberi itu bagi mengawal kenaikan harga barangan bersama kerajaan.

Author

Pilihan Editor