HomeBeritaPolitikPresiden jamin UMNO bersih secara total - Puad Zarkashi

Presiden jamin UMNO bersih secara total – Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO memberi jaminan parti dibersihkan secara total daripada unsur mudarat dan pelaku bersifat ‘baling batu sembunyi tangan’ yang merugikan parti.

Perkara itu didedahkan oleh Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi.

Puad Zarkashi

“Dalam taklimat hari ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi jaminan akan melakukan pembersihan secara keseluruhan supaya UMNO bersih daripada anasir bersikap baling batu sembunyi tangan.

“Mereka mendatangkan mudarat kepada UMNO. Hala tuju baharu UMNO akan dibentangkan dalam ucapan dasar Presiden UMNO Jumaat ini. Justeru pembersihan total UMNO amat disokong,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas mengenai kepimpinan UMNO di Sabah, Puad berkata, tindakan tatatertib mesti diambil terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Sabah kerana tidak mengikut barisan parti.

Katanya, UMNO masih berdepan dengan ADUN tidak berdisiplin yang sukar mengikuti keputusan parti.

“Mereka mesti dipertanggungjawabkan. UMNO tidak boleh dijual beli. Kena tegas,” katanya.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) diadakan di Pusat Dagangan Dunia pada 11 hingga 15 Januari 2023.

Parti berasaskan Melayu itu akan mengadakan pemilihan dalaman sebelum 18 Mei, enam bulan selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ini PAU pertama UMNO sejak Zahid bersetuju bekerjasama dengan mantan musuh politiknya Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan baharu selepas PRU15.

Keputusan itu mendapat pelbagai reaksi dalam UMNO, malah ada sebilangan dengan secara terbuka membantah keputusan yang dibuat oleh presiden mereka.

Jadi tidak hairanlah jika wujud sekelompok pemimpin tertentu yang dijangka cuba mencabar Ahmad Zahid bagi jawatan presiden.

Author

Pilihan Editor