HomeBerita'Sedekah', namun undang-undang tetap anggap rasuah - Azam Baki

‘Sedekah’, namun undang-undang tetap anggap rasuah – Azam Baki

CYBERJAYA: Menyiasat apa sahaja bentuk kes rasuah berdasarkan peruntukan undang-undang dan tidak tertakluk kepada pemahaman peribadi adalah keutamaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan rasuah tetap rasuah walau bagaimanapun seseorang itu menggambarkannya kerana maksud pembelian undi itu jelas tertakrif dalam undang-undang.

“Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 adalah sangat jelas dan apa jua istilah awam digunakan mempertahankan hujah adalah tafsiran peribadi semata-mata.

“Sama ada ia ‘sedekah’ atau ‘sumbangan’, undang-undang menganggapnya sebagai rasuah yang dibayar kepada pengundi, tidak kira sama ada pengundi memintanya atau tidak,” katanya, lapor The Star.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mempertahankan pemberian wang tunai yang didakwa dibuat partinya dengan mendakwanya sebagai sedekah dan tidak melanggar peraturan pilihan raya.

Untuk rekod, isu tersebut mula dibangkitkan selepas UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang, dan Kemaman pada 3 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Azam menjelaskan bahawa Seksyen 10 (a) mentakrifkan secara terperinci perbuatan rasuah sebelum, semasa dan selepas pilihan raya yang dilakukan secara langsung atau tidak langsung oleh calon sendiri atau oleh wakil bagi pihaknya.

Author

Pilihan Editor