HomeBeritaPolitikZahid dedah 10 MP jadi 'broker' PN

Zahid dedah 10 MP jadi ‘broker’ PN

KUALA LUMPUR: Senarai 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk daripada UMNO yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah didedahkan Presiden UMNO semalam.

Pendedahan itu dibuat Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada taklimat khas yang diadakan secara tertutup sempena Persidangan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Sumber pemimpin parti itu ketika ditemui memaklumkan, Zahid memperincikan kawasan diwakili ahli Parlimen berkenaan tanpa menyebut nama mereka, dengan empat daripadanya dari Johor.

“Ahli Parlimen ini adalah mereka yang menyokong Muhyiddin ketika kemelut pembentukan kerajaan tercetus selepas PRU15 lalu.

“Nama Ahli Parlimen BN yang dirujuk Ahmad Zahid itu pula bukan sepenuhnya daripada UMNO, sebaliknya sebahagian mereka mewakili parti komponen BN lain.

“Mereka diminta untuk membatalkan SD ditandatangani (untuk menyokong Muhyiddin) dan semuanya akur dengan arahan itu kerana parti tidak membuat sebarang keputusan untuk menyokong sama ada PN (Perikatan Nasional) atau PH (Pakatan Harapan) ketika itu,” katanya.

Melalui taklimat sama juga, katanya, Zahid mendedahkan cubaan pihak tertentu yang mahu mendesaknya supaya berundur daripada Pengerusi BN, namun gerakan itu berjaya dihalang.

Sementara itu, sumber menyatakan, Zahid menjelaskan wujud cadangan untuk UMNO menyertai blok pembangkang selepas PRU15, namun pertimbangan itu sukar dipersetujui memandangkan UMNO perlu memilih antara PN atau PH.

“Presiden (Zahid) jelaskan, keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan bukan dibuat olehnya, sebaliknya dipersetujui oleh pemimpin utama BN ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Syarat ditetapkan UMNO ketika mengadakan rundingan dengan PH adalah kerajaan yang dibentuk adalah Kerajaan Perpaduan bukannya kerajaan PH, sebelum ia dipersetujui pemimpin PH,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika ditemui selepas sesi khas itu memaklumkan, kunci utama taklimat disampaikan Zahid semalam adalah menekankan supaya tiada pengkhianatan dalam perjuangan parti.

“Salah satu perkara yang Presiden (Zahid) tekankan bahawa dia tidak mahu dalam UMNO berlaku pengkhianatan dalam parti.

“Maknanya waktu bila kita pergi pertandingan (pilihan raya), (ahli) parti yang datang daripada UMNO juga menyokong parti lain… itu maksud dia, jangan ada pengkhianatan dalam perjuangan parti UMNO,” katanya.

Taklimat bermula 3 petang itu berlangsung dua jam dengan dihadiri kira-kira 3,000 perwakilan UMNO dari seluruh negara.

Dalam pada itu, Pengerusi BN dan UMNO Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said berkata, UMNO percaya demi masa depan parti, penyatuan bersama PH serta pembersihan parti perlu dilakukan daripada mereka yang mensabotaj UMNO dan BN dalam PRU15 lalu atas pelbagai alasan.

“Melalui penyatuan (dalam Kerajaan Perpaduan) dan pembersihan, selain hala tuju baharu parti, ia boleh mengukuhkan kembali UMNO dan BN untuk bersaing dalam PRU akan datang,” katanya.

Author

Pilihan Editor