HomeBeritaPolitikZahid sedia lawan KJ

Zahid sedia lawan KJ

KUALA LUMPUR: Kesediaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berdepan pencabar jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti akan datang, bukti selama ini beliau seorang pejuang dan mengamalkan kepimpinan demokrasi.

Dikala ada gerakan sulit cuba menjatuhkan dan menghentam Ahmad Zahid, beliau sendiri bersikap terbuka memberi peluang pencabar baharu bertanding jawatan yang sebelum ini tidak dipertandingkan sejak era Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hal ini kerana Ahmad Zahid berjuang demi parti, menyatukan semula orang Melayu dengan memberi jaminan membersihkan gerakan itu daripada pengkhianat.

Mantan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan Ahmad Zahid sedia berdepan pencabar bagi jawatan Presiden, ketika bertembung dengan beliau pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

“Alhamdulillah, pagi tadi saya bertembung dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Sambil saya salam beliau, beliau sebut ready to fight.

“Maknanya beliau sedia untuk berdepan sebarang cabaran dalam pemilihan parti. Beliau sendiri berani. Saya salute kepada beliau (kerana) tak takut,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram rasminya.

Justeru katanya, sebarang usaha mana-mana pihak yang mengusulkan agar jawatan Presiden tidak dipertandingkan adalah bertentangan dengan keberanian itu.

“Buka semua jawatan untuk dipertandingkan,” tegasnya.

Terdahulu, Khairy mengecam tindakan 140 Ketua UMNO Bahagian yang bersetuju jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Mantan Menteri Kesihatan itu yakin Ahmad Zahid seorang pejuang dan tidak gentar jika kedudukannya sebagai Presiden dicabar pada pemilihan parti akan datang.

Susulan itu, katanya, UMNO harus membuka ruang untuk jawatan tertinggi itu dipertandingkan bagi menyuburkan demokrasi dalam parti.

“Hentikan kegilaan ini. Saya rasa Presiden seorang fighter yang tidak gentar menghadapi pencabarnya.

“Buka ruang pertandingan. Jangan matikan demokrasi dalam UMNO,” ujarnya.

Umum mengetahui, Khairy pernah memberi bayangan bahawa beliau akan bertanding mencabar kedudukan Ahmad Zahid sebagai Presiden pada pemilihan kali ini.

Pada pemilihan UMNO 2018, beliau pernah mencabar Ahmad Zahid namun tewas apabila sekadar meraih 51 undi.

Ahmad Zahid mendahului pencabar lain dengan 93 undi diangkat sebagai Presiden UMNO menggantikan Datuk Seri Najib Razak ketika itu.

Author

Pilihan Editor