HomeBeritaAnak tiri Miera Leyana dedah bapa berubah selepas poligami

Anak tiri Miera Leyana dedah bapa berubah selepas poligami

KUALA LUMPUR: Anak tiri pelakon Miera Leyana dedah bapanya berubah sejak berpoligami dengan artis berkenaan.

Nur Izzah Rosland berkata, bapanya sebelum ini yang dikenalinya bukan seperti itu dan jauh berbeza dengan sekarang.

“Dahulu dia seorang ayah yang rapat dengan kami, sekarang hampir dua tahun dia tak pulang.

“WhatsApp saya disekatnya setelah saya bertanya kenapa ambil adik Anisa tanpa pengetahuan kami.

“Nafkah anak-anak biasanya dibayar jika ada resit bayaran, semua ini melukakan hati anak-anak.

“Nafkah ibu saya telah lama dia culas sejak dia berpoligami.

“Kenapa ayah berubah? Hilangkah rasa ihsan ayah pada kami?” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Nur Izzah memberitahu, adik perempuannya, Anisa, diambil dari program pengakap sekolah tanpa pengetahuan ibunya sejak 12 Februari lalu.

Ibunya masih dalam trauma dan kesedihan kerana tidak tahu di mana Anisa dibawa dan masih belum pulang.

Rosland dilaporkan telah menyekat telefon isteri pertamanya dan tidak pulang ke rumah mereka sejak September 2021.

“Cara ambil Anisa itu buatkan kami semua trauma, terkejut dan sedih kerana adik diambil oleh bapa saudara, Kamarul Othman, dan isterinya. Itupun kami dapat tahu kemudian.

“Kenapa ayah tidak ambil sendiri adik? Kenapa tidak beritahu kami?” katanya.

Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Rabu mengekalkan hakim asal, Yusof Sulaiman bagi mendengar prosiding nusyuz madu kepada pelakon Miera Leyana Kasmi.

Hakim, Abdul Fattah Kamaruddin telah membenarkan permohonan Fatimawati Ismail iaitu peguam mewakili defendan, Adibah Abdul Mutalib.

Adibah adalah isteri pertama Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, sebuah anak syarikat Serba Dinamik, Rosland Othman, sebelum berpoligami dengan Miera Leyana pada 26 Julai 2020.

Peguam yang mewakili Rosland, Datuk Amli Embong enggan memberi komen manakala Rosland bergegas meninggalkan dewan ketika media ingin menemu bual.

Rosland ditemani oleh Aisah Abdullah, ibu Miera Leyana, Md Fadley Kasmi, abang Miera Leyana, dan dua orang adik Rosland, Kamarul dan Hafeez Othman.

Author

Pilihan Editor