SHAH ALAM: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melihat sendiri ‘kedaifan’ infrastruktur sukan memanah tradisional ketika kunjungannya ke Sabah baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya MEDIA VARIASI berhubung dakwaan Pemanah Tradisional Malaysia (TAAM) bahawa ramai pemanah pulang sebagai juara namun tidak diiktiraf oleh kerajaan.
Perihal itu berikutan sukan berkenaan masih dalam kelas C dan D yang menyebabkan tiada peruntukan disalurkan untuk membantu sukan terbabit.
“Saya tidak nafikan infrastruktur sukan memanah tradisi amat tidak mencukupi, di kawasan berlumpur, tiada tangga untuk naik dan lain-lain.
“Banyak infrastruktur yang perlu dikemaskini, diperbaiki untuk memastikan atlet ada peluang yang sama seperti sukan lain.
“Saya akan berbincang perkara ini iaitu pengkelasan sukan memanah, infrastruktur dan bajet di peringkat kementerian, ” katanya kepada media.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Logo Malaysia Olympians Association dan Kempen Tabung Dana The Spirit of Olympism 2023 anjuran kerjasama Heriot-Watt University Malaysia, di I-City, Shah Alam.
Turut hadir, Presiden Malaysia Olympians Association, Noraseela Mohd Khalid, Provost dan Ketua Pegawai Eksekutif Heriot-Watt University Malaysia, Professor Mushtak Al-Atabi, dan Presiden Persatuan Mahasiswa Heriot-Watt University Malaysia, Ilya Sulaiman Dali serta, Pengasas Haruka Bakery, KC Lee.
Penyertaan pemanah Melayu di pentas antarabangsa memecah rekod dimonopoli Hungary yang sekian lama mengungguli kejohanan HDH-IAA World Historical Traditional Archery, itu sejak dua dekad lalu.
Lebih manis lagi, ketika pertandingan sukan itu dianjurkan di Turki, Hungary, Macau, Thailand, pemanah Melayu lengkap bertanjak.
Malah, para peserta baik lelaki atau wanita tidak pulang dengan tangan kosong kerana pasti meraih pingat gangsa, perak ataupun emas.
Bagaimanapun, membawa pulang pelbagai pingat dan plak berprestij dunia seolah-olah tidak mampu ‘menambat’ perhatian kerajaan untuk diiktiraf di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Mohd Saharuddin Hassan, pemegang Juara HDH-IAA World Historical Archery Championship 2022, kelompok pemanah tradisional lapan terbaik dunia, pemegang pingat perak World Nomad Games di Iznik, Bursa di Turki.
Muhammad Mustaqqim Rosman, pemegang pingat emas Kejohanan Pemilihan ke Islamic Solidarity Game di Konya, Turki; pingat emas di Festival Pemanah Dannok Thailand 2023, dan pingat gangsa di Pateh Laga 2, Malang Indonesia 2022.
Muhammad Zarul Shafiq Zahar, pemegang pingat gangsa Festival Pemanah Dannok Thailand 2023, pingat emas Festival Memanah Tradisional Sepang 2022, dan emas Liga Memanah Selangor 2022.
Said Hawa Mohd Salleh, pemegang pingat perak di Macau 2018, pingat perak berkumpulan World Nomad Games Iznik, Bursa di Turki 2022, pingat emas Liga Memanah Tradisional Kebangsaan 2022, pingat emas jemputan Bintulu.
Ahmad Zulqarnain Murad, pemegang emas berkumpulan International Traditional Archery Festival 2018, emas berkumpulan ke Islamic Solidarity Game di Konya, Turki; perak di Dannok Archery Festival 2023.